AES Ditambah… Kami Tak Pelik, Cuba Lihat Apa Jadi Janji Terhadap Warga Felda – PEMBELA

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Warga Felda Malaysia (PEMBELA), Anuar Abd Manap berkata kenyataan ‘terdesak’ beberapa pemimpin Pakatan Harapan berhubung pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) seperti menepati maqasid syariah bukanlah perkara yg mengejutkan.

Ini kerana katanya beberapa janji dan manifesto lain yang ditawarkan kepada rakyat sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu masih belum ditunaikan termasuklah janji-janji mereka pelupusan hutang kepada warga peneroka yang dicanang setiap pelusuk negara.

“Kita imbau apa janji mereka kepada warga Felda sebelum PRU lalu… kononnya dengan menukar pemerintahan nasib dan warga berkenaan akan terus terbela khususnya berkaitan penghapusan hutang warga Felda. Sekarang ini kita boleh lihat apa jadi kepada janji berkenaan, malah mereka yang mendabik dada berkempen dulu konon boleh selesai segalanya tapi baru-baru ini meminta bantuan Pemuda UMNO pula untuk selesaikan janji mereka pada warga felda.

“Kita juga difahamkan warga Felda kini amat terhimpit dengan kos sara hidup setelah kejatuhan harga komoditi berkenaan sebelum ini dan sehingga kini pimpinan mereka nampaknya masih berdiam diri dan hanya mengambil sikap tunggu dan lihat.

“Sebelum PRU bukan main dijaja itu dan ini dalam usaha mendapatkan undi bagi menjayakan matlamat mereka untuk menuju ke Putrajaya. Setelah kuasa berada di tangan mereka, apa yang dikatakan dahulu zalim dan sebagainya lagi terus dilaksanakan dan disusuli dengan pelbagai alasan termasuklah dalam isu AES,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Anuar seterusnya menegaskan dalam soal AES, mereka seharusnya berpegang kepada janji terdahulu dan bukannya mencari alasan untuk menutup serta menghalalkan tindakan mereka hari ini termasuklah menambah lagi bilangan kamera berkenaan.

“Jangan jadi ‘munafiq’… setelah berkuasa itu dan ini… sedangkan sebelum berkuasa macam-macam dilontarkan tohmahan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu. Tol pula dianggap menekan rakyat. Selepas berkuasa sunyi sepi dan pelbagai sandiwara pula yang keluar. Inilah sebenarnya sikap hipokrit yang terserlah menerusi kerajaan baru hari ini,” tambahnya.

Baru-baru ini, kenyataan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Hasanuddin Mohd. Yunus bahawa pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) menepati maqasid syariah, terus dipertikai pelbagai pihak.

Terbaharu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula membidas kenyataan Hasanuddin yang disifatkan cuba menggunakan pendekatan agama untuk menghalalkan pemasangan tersebut oleh kerajaan PH.

Malah, Tuan Ibrahim secara sinis mempersoalkan perbezaan AES ketika zaman kerajaan BN yang ditentang habis-habisan oleh PH dahulu.

“Mengapa pemasangan AES dan saman yang disifatkan menekan serta menzalimi rakyat oleh Pakatan Harapan dahulu tidak dimansuhkan sebaliknya ditambah apabila berkuasa?” – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.