PRK Semenyih: Menteri-menteri PH Turun Padang Hanya Kebetulan… Memang Lawak!


KUALA LUMPUR, 14 Feb – Pelbagai program yang dianjurkan oleh agensi-agesi kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Semenyih menjelangnya Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan tersebut dilihat menjadi bahan lawak apabila mereka beranggapan ianya secara kebetulan, kata Exco Pemuda UMNO Malaysia, Afriz Mohd Noor.

Katanya, ia menimbulkan tanda tanya kepada pengundi Semenyih yang menyifatkan perkara tersebut bukannya suatu kebetulan tetapi telah dirancang oleh pelbagai kementerian terbabit untuk tujuan tertentu.

“Program yang dianjurkan oleh kementerian dan agensi kerajaan ini seolah-olah menjadi bahan ketawa kepada rakyat yang melihat mereka tiada idea untuk menganjurkan sebarang program walhal sebenarnya UMNO sudah lama melaksanakan program sedemikian,” katanya kepada UMNO-Online.

Jelasnya, kerajaan PH sebenarnya ‘copy paste’ program-program kerajaan terdahulu dan mengambil kesempatan ke atas usaha yang telah dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) selama ini.

“Rakyat tidak mahu lagi ‘dikencing’ dan ditipu sewenang-wenangnya, ini memberi signal bahawa rakyat Semenyih berhak menentukan siapakah yang boleh memerintah dan menjaga kebajikan serta membawa suara mereka.

“Saya percaya dan yakin pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih akan membuat pilihan terbaik dan tidak melihat kepada projek-projek serta janji-janji terkini kerajaan PH sempena PRK ini.”

Menurut beliau rakyat terutama pengundi di DUN tersebut mempunyai kuasa dan hak dalam menentukan siapa yang layak untuk dipilih pada PRK itu nanti berasaskan kepada ‘track record’ mahu pun janji-janji yang telah ditawarkan sebelum ini terutama pada PRU yang lalu.

“Perkara-perkara yang ‘tidak kena’ boleh dilaporkan kepada Polis Di-Raja Malaysia(PDRM) dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) kerana program ini dapat dilihat sebagai memancing undi kepada penduduk-penduduk di Semenyih,” tegasnya.

Terdahulu, empat menteri PH telah mengadakan program lawatan di Semenyih melibatkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan diikuti Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang diadakan dalam satu minggu yang sama. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.