Teater Promosi Hubungan Bebas Dan Songsang Dibantah, Mujahid Digesa Jangan Ambil Mudah


NIBONG TEBAL, 13 Feb – Pemuda UMNO Nibong Tebal membantah sekeras-kerasnya tayangan sebuah teater yang mempromosikan hubungan bebas dan songsang di negara ini.

Menurut Ketuanya, Mohd Norhiesam Ismail, tayangan tersebut perlu dibatalkan segera kerana bertentangan dengan agama dan sosio-budaya masyarakat di Malaysia.

Justeru Norhiesam menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa yang menjaga hal ehwal agama agar campur tangan terhadap isu ini dengan kadar segera dan jabatan yang berkaitan dapat mengarahkan pembatalan tayangan teater tersebut.

“Cukup menyedihkan, sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara ini begitu mudah unsur-unsur negatif dalam kehidupan seperti LGBT dan pergaulan bebas menggerakkan aktiviti mereka.

“Adakah ada agenda di sebalik penularan program sebegini?” soal Norhiesam dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Teater ‘Sex in Georgetown City’ akan diadakan pada 14 hingga 17 Februari 2019 di Pentas 2 Penangpac, Pulau Pinang.

Justeru tambahnya, Pemuda UMNO Nibong Tebal mendesak kerajaan PH yang kononnya meletakkan konsep ‘Rahmatan Lil A’lamin’ agar peka dan mengambil tindakan segera dengan membatalkan tayangan tersebut sejajar dengan bantahan dan laporan polis oleh orang ramai.

“Saya juga ingin mengingatkan kepada Kerajaan PH agar tidak leka dan ambil mudah terhadap isu ini yang jelas boleh membangkitkan kemarahan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang memang menolak budaya bebas dan songsang ini.

“Pesanan saya juga kepada mereka yang ada agenda serta membuka ruang untuk terus membawa LGBT dan budaya bebas ini jangan sesekali cuba bermain api dan ‘test market’, buruk padahnya.

“Kami sesekali tidak akan berkompromi membenarkannya berlaku di bumi Malaysia ini,” tegasnya.

Jelas Norhiesam lagi, tayangan tersebut juga seolah-olah dirancang sempena sambutan Hari Kekasih yang diraikan pada 14 Februari setiap tahun.

“Implikasi buruk budaya negatif akan mempengaruhi golongan remaja khususnya akan terjadi.

“Pemuda Nibong Tebal juga menganggap permohonan maaf dan menukar tajuk daripada Fa Abdul, Pengarah dan Penulis Big Nose Production terhadap isu ini tidak cukup sebaliknya saya tetap ingin menggesa supaya tayangan teater ini dibatalkan serta-merta demi keharmonian agama dan prinsip kehidupan,” ujarnya lagi. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.