Bela Kebajikan Atlet, Fokus Hala Tuju Dan Pembangunan Sukan Negara… Bukan Anjur F1


KUALA LUMPUR, 13 Feb – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mempersoalkan hasrat Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang mahu menganjurkan semula perlumbaan sukan permotoran Grand Prix Formula Satu (F1).

Ini kerana katanya, ia menimbulkan banyak persoalan dan tanda-tanya.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sering melaungkan tentang hutang negara yang tinggi sehingga banyak peruntukan kerajaan terpaksa dipotong.

“Rakyat juga telah diminta untuk memahami ‘masalah’ yang dihadapi kerajaan dan kononnya juga kerajaan memerlukan masa sehingga tiga tahun untuk memulihkan semula keadaan ekonomi negara,” katanya di facebooknya.

Untuk rekod ujarnya lagi, Malaysia tidak melanjutkan kontrak penganjuran perlumbaan F1 selepas perlumbaan kali terakhir pada tahun 2017 atas faktor kos penganjuran yang tinggi iaitu antara RM200 juta sehingga RM300 juta setahun serta pulangan yang terus menurun saban tahun.

Manakala apabila berbicara mengenai sukan, jelas bekas Menteri Belia dan Sukan itu, sepanjang tempoh awal tahun 2019 ini pelbagai rungutan dari atlet dan badan sukan telah didengari disebabkan peruntukan kewangan yang telah dipotong

“Ada atlet yang perlu menampung sendiri kos latihan termasuklah membayar sendiri jurulatih mereka. Latihan luar negara juga ada yang tidak diluluskan. Elaun sara hidup atlet juga telah dikurangkan.

“Terdapat atlet negara yang tidak disambung kontrak dan telah bersara pada usia muda sehingga terpaksa menjual jambu di tepi jalan dan menjalankan perniagaan gunting rambut walaupun pernah menyumbang pingat emas di peringkat antarabangsa.

“Sebelum ini, Program Podium yang telah dibatalkan dan digantikan dengan program baharu telah menyaksikan ramai kakitangan kontrak dalam kepakaran sains sukan di Institut Sukan Negara (ISN) tidak disambungkan semula,” bidasnya lagi.

Justeru tegasnya, sebelum terlintas fikiran bagi kerajaan PH untuk menganjurkan semula perlumbaan F1, adalah lebih baik mereka terlebih dahulu menyatakan hala tuju serta pelan pembangunan sukan yang masih belum kelihatan walaupun telah mengambil alih kerajaan hampir sepuluh bulan yang lalu.

“Tangani terlebih dahulu masalah yang dihadapi oleh atlet dan badan sukan di negara ini.

“Sedang banyak negara penganjur perlumbaan F1 sedang berkira-kira untuk tidak meneruskan kontrak penganjuran mereka atas faktor yang sama, pentadbiran Perdana Menteri ketika ini masih lagi dengan nostalgia dongeng abad ke-20.

“Pakatan Harapan, ‘please set your priorities straight. F1 is not one of them’,” gesanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.