Apa Fungsi Sebenar Majlis Tindakan Ekonomi Negara? – Shahril


KUALA LUMPUR, 13 Feb – Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan menimbulkan persoalan apakah fungsi sebenar penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang kononnya untuk meneliti dan membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi serta kewangan dan kebajikan rakyat.

Menyenaraikan beberapa kemusykilan mengenainya, beliau turut melontarkan apakah penubuhan MTEN semata-mata untuk  ‘sideline’  bakal Perdana Menteri (PM) atau penubuhannya boleh menaikkan harga minyak sawit yang turun dari RM2,700 ke RM2,000 setan.

Menurut beliau lagi jika diimbau sebelum ini, MTEN pernah diwujudkan oleh PM-4 pada tahun 1998 yang pada ketika itu adalah untuk membantu Malaysia keluar dari krisis kewangan Asia.

“Tapi sekarang, Menteri Kewangan asyik ulang ekonomi Malaysia dalam keadaan kukuh. Mungkin tak cukup 28 Menteri dan 27 Timbalan Menteri yang ada sekarang ini untuk fikirkan tentang pemasalahan negara sebab itu perlukan majlis ni.

“Entah apa fungsi dan peranan MTEN yang diwujudkan oleh PM-7 kali ni. Apakah boleh kembalikan bantuan kepada rakyat B40 yang sedikit demi sedikit ditarik balik oleh Kerajaan PH”, katanya menerusi catatan di facebook.

Beliau seterusnya melemparkan persoalan apakah boleh kembalikan tahap dan konsistensi pengagihan sara hidup dan tunggakan kepada warga peneroka Felda.

“Apakah boleh naikkan keyakinan komuniti perniagaan segenap bangsa yang rata-ratanya sedang memperlahan pelaburan dan pengambilan pekerja ekoran pengurusan ekonomi yang pincang.

“Apakah boleh meyakinkan atlet-atlet yang tertunggu bantuan kerajaan yang sibuk jaja satu dunia konon takda duit hutang trilion dan sebagainya?”, soalnya lagi.

Persoalan lain yang turut ditimbulkan oleh Ketua Pemuda UMNO Kuala Langat itu apakah MTEN boleh membantu perkasakan sekolah tahfiz yang menunggu bantuan setanding sekolah persendirian Cina atau apakah boleh membuat rumah mampu milk terutamanya untuk miskin bandar.

“Atau apakah ianya boleh menunaikan janji penangguhan bayaran PTPTN serta boleh selesaikan masalah ijazah palsu milik Menteri PH.

“Bukankah ini semua di atas adalah contoh kerja asas kerajaan dan kabinet? Nak Majlis ni.. tambah jawatan, tambah belanja untuk apa?,” soalnya lagi.-MediaUMNO

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.