UMNO Ucap Selamat Maju Jaya Kepada Enam Bekas Ahli Parlimennya Yang Sertai PPBM


KUALA LUMPUR 12 Feb – UMNO mengucapkan selamat maju jaya kepada enam bekas ahli parlimennya yang diterima masuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini.

Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata keputusan mereka langsung tidak akan merencat kelangsungan serta agenda perjuangan UMNO dan parti beranggapan mereka tidak ada lagi apa jua pertalian dan hubungan dengan UMNO.

“Pemilihan mereka untuk menyertai mana-mana pihak pasca UMNO adalah hak mereka sepenuhnya.

“UMNO dan saya hanya ingin sekali lagi merakamkan terima kasih atas segala sumbangan dan jasa mereka dalam UMNO sebelum ini. Selamat maju jaya dalam perjalanan politik mereka selepas ini bersama PPBM,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Mohamad seterusnya menegaskan keenam-enam individu yang diterima masuk ke dalam PPBM hari ini, telah pun mengumumkan yang mereka keluar dari UMNO lebih awal sebelum ini.

“UMNO akan terus memfokuskan kepada agenda pemulihan parti yang kini sedang mendapat momentum dan sokongan terbaik daripada semua pihak, insya Allah,” tambahnya.

Memetik laporan, dilaporkan enam bekas Ahli Parlimen UMNO yang diterima masuk ke dalam PPBM hari ini ialah Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Mereka meninggalkan UMNO pada 14 Disember lalu. Mereka menerima kad keahlian yang diserahkan Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Turut menerima kad keahlian parti itu ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin. –MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.