SPR Dikendali Seorang Individu, Boleh Dianggap Tak Hormat Perlembagaan Persekutuan, Hina Agong


KUALA LUMPUR, 12 Feb. – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar berkata, setiap tindakan dan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini boleh dianggap tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan seolah-olah menghina kuasa yang ada pada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Majlis Raja-Raja.

Ini kerana jelas beliau, SPR hari ini hanya dikendalikan oleh seorang individu sahaja dan ia ternyata melanggar Perkara 114 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 114 (1) ada menyebut bahawa SPR hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja dan hendaklah terdiri daripada seorang Pengerusi, seorang Timbalan Pengerusi dan lima orang anggota lain.

“Jadi di bahagian mana yang ada menyebut bahawa SPR boleh dikendalikan oleh seorang individu sahaja? Sekiranya SPR hanya dikendalikan oleh seorang iaitu Pengerusinya Azhar Harun tanpa ahli lain, bagaimana dia boleh menjalankan fungsi SPR dan membuat keputusan?

“Kalau anggota suruhanjaya pun tidak cukup, maknanya Azhar Harun boleh membuat keputusan ikut suka hati dia. Kalau inilah keputusan di mahkamah nanti, maknanya selepas ini sesuatu suruhanjaya boleh dipengerusikan seorang diri, bermesyuarat seorang diri dan setiap keputusan pun boleh dibuat seorang diri,” ujar beliau melalui status yang dimuat naik di laman sosial facebooknya.

Untuk rekod, banyak pihak mempertikaikan peranan SPR apabila ia hanya dikendalikan oleh seorang individu sahaja iaitu pengerusinya namun Azhar Harun tetap menegaskan bahawa fungsi SPR tidak terjejas daripada segi perundangan walaupun buat masa ini hanya mempunyai pengerusi sahaja.

Menurut beliau, segala tindakan yang dibuat mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan juga selaras serta mengikut nasihat perundangan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 28 Disember 2018. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.