PRK Semenyih: Destinasi PH Untuk Tabur Janji Yang Terkini – Mat Nadzari


KUALA LUMPUR, 12 Feb – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan mempersoalkan tindak-tanduk beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang begitu agresif turun padang dengan pelbagai program kerajaan ke kawasan Dewan Undangan negeri (DUN) Semenyih.

Soal beliau jika sebelum ini mereka sering melaung-laungkan kononnya kerajaan terdahulu menggunakan jentera kerajaan dan sebagainya namun apa yang berlaku hari ini adalah sebaliknya sekaligus memberi gambaran itulah ‘Malaysia Baru‘.

“Sejak beberapa hari lalu, beberapa pemimpin PH terutamanya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) begitu agresif turun padang ke DUN Semenyih. Alhamdulillah mereka begitu prihatin dengan Menteri Belia dan Sukan berkayuh basikal dan timbul idea nak jadikan Semenyih sebagai lokasi ‘bicycle tourism’ manakala Menteri Pendidikan juga lakukan pecah tanah projek sekolah yang didakwa hasil perjuangan Kerajaan PH. Tidak ketinggalan Menteri PLB juga sampaikan kunci dan mesin jahit.

“Tahniah kepada penerima dan perlu diakui seperti penafian pemimpin PH, turun padang berkenaan bukan kerana Semenyih ada PRK tetapi ia sudah dirancang sejak dulu lagi. Nampaknya cara menteri-menteri berkenaan sama seperti yang dilaungkan sebelum ini kononnya kerajaan terdahulu salah guna kuasa, salah guna jentera kerajaan dan lain-lain.

“Persoalannya, apa sudah jadi kepada mereka ini yang kini menerajui kerajaan pusat dan negeri. Kenapa menjilat ludah sendiri… Ramai yang keliru dengan sikap mereka…,“ katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tegas beliau lagi walaupun pelbagai teguran demi teguran diberikan oleh pelbagai pihak, namun tindakan mereka seolah-olah perkara yang betul dan BN Selangor tidak melihat ia sebagai satu isu lagi kerana apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan kini semuanya adalah betul.

“Walaupun teguran demi teguran dibuat termasuk daripada NGO Bersih 2.0, nampaknya apa sahaja yang dilakukan mereka adalah betul kerana mereka adalah kerajaan ‘Malaysia Baru’. PRK Cameron Highlands menceritakan sikap ego dan keras kepala mereka apabila sudah kantoi guna jentera kerajaan tetapi mahu ‘tegakkan benang yang basah’.

“Biarlah pemimpin-pemimpin ini dengan cara mereka mungkin kerana mereka percaya taktik berkempen menggunakan jentera kerajaan yang dahulunya disangkal habis-habisan mampu ‘mengumpan’ hati pengundi dan jumlah undi yang diterima mereka pada PRK Cameron Highlands membuktikan mereka benar.

“Tumpuan BN Selangor kini termasuk dengan kerjasama PAS dan beberapa NGO yang mula ‘buka mata’ adalah untuk terus mendampingi seramai mungkin pengundi dan menyusun gerak kerja yang tersusun. Insya-Allah jam 5 petang Khamis ini (14 Februari 2019) calon kami akan diumumkan dan sudah pasti dengan istiqomah kejayaan pasti menyusul,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.