PRK DUN Semenyih Pentas Terbaik Rakyat Suarakan Rasa Tak Puas Hati Terhadap PH


SEMENYIH, 12 Feb – Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Johan Abd Aziz berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih adalah pentas terbaik untuk rakyat membuktikan bahawa ‘suara’ mereka adalah penentu kejayaan sesebuah parti.

Jelas beliau, PRK ini juga pentas terbaik untuk rakyat menyuarakan rasa tidak puas hati dengan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Tapi semuanya terpulang kepada rakyat juga… jika mereka rasa PRK ini boleh dijadikan referendum maka terjemahkanlah dalam bentuk undi. Keluarlah beramai-ramai dan buktikan…, lahirkan bantahan, rasa ketidakpuasan hati kepada segala janji manis kerajaan baru,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat berkata, tidak ada gunanya sekiranya rakyat hanya melahirkan ketidakpuasan hati kepada pentadbiran PH melalui media sosial sahaja kerana ia perlu diterjemahkan dalam bentuk undi agar mesej yang hendak disampaikan itu benar-benar berkesan.

Menjawab berkaitan persediaan bagi menghadapi PRK DUN Semenyih yang bakal berlangsung pada 2 Mac ini pula jelas Johan, segala persiapan telah pun diatur dengan baik.

“Kita telah melakukan segala-galanya malah jentera pun telah bersiap-sedia. Kita cuma berharap dapat mengeluarkan pengundi seramai mungkin pada hari mengundi nanti,” katanya.

Penamaan calon bagi PRK DUN Semenyih telah ditetapkan pada 16 Februari manakala tarikh mengundi awal pada 26 Februari.

Seramai 54,503 pemilih layak mengundi bagi PRK itu mengikut daftar pemilih sehingga suku ketiga 2018 yang dikemaskini sehingga 11 Januari lalu.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya dari PH Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

PRK DUN Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Sebelum ini, Selangor sudah mengadakan tiga PRK iaitu di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.