Pemuda UMNO Dan Kesatuan Pelajar Desak Siasat Segera Penggunaan Sijil Akademik Palsu


KUALA LUMPUR, 11 Feb – Biro Pendidikan dan Mahasiswa Pemuda UMNO serta Kesatuan Pelajar Malaysia hari ini mendesak agar pihak polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan tindakan penipuan terang-terangan daripada menteri yang menggunakan dokumen palsu bagi mempengaruhi rakyat dan mendapatkan kedudukan tertentu.

Pada masa yang sama mereka turut menuntut agar pemimpin yang menipu kelulusan akademik supaya meletakkan jawatan serta merta tanpa kompromi.

Desakan berkenaan terkandung dalam memorandum yang diserahkan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman oleh Farhan Kamaruddin, Exco Pemuda UMNO Malaysia.

Menurut Farhan tindakan para pemimpin yang memalsukan kelulusan pendidikan mereka sebagai tidak berintegriti dan bertentangan dengan semangat Malaysia Baharu yang dicanang kerajaan semasa.

Perkara ini katanya bukan sahaja menjejaskan kredibiliti pemimpin di mata rakyat malahan memburukkan nama baik negara di mata dunia sungguhpun amat komited dalam mencapai sasaran negara berintelektual tinggi.

“Mahasiswa di kampus berhempas-pulas siang dan malam untuk mendapatkan segulung ijazah, tetapi terdapat pihak-pihak yang mengambil jalan pintas dengan sewenang-wenangnya membeli dan menipu status pendidikan demi kepentingan nafsu politik.

“Ini mencemarkan sistem rukun negara yang jelas, perlembagaan dan inteklektual yang baik, tapi sayang…. ia dirosakkan dengan perangai sifat penipu yang diamalkan oleh kepimpinan kerajaan hari ini,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan memorandum di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Memorandum berkenaan diserahkan kepada DSP Nor Azlinda Abdul Halim, sumber informasi dan analisis.

Turut sama, Presiden dan Timbalan Presiden Mahasiswa Nasional, Mohd Irfan Mohd Zamri dan Haziq Shafee.

Tambah Farhan lagi penipuan secara terang-terangan ini telah melanggari undang-undang dan ini merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 464 dan 471 Kanun Keseksaan, kerana pemalsuan dokumen.

Pada hari ini juga dilaporkan mahasiswa daripada Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang dan Universiti Teknikal Malaysia (UTEM) Melaka telah membuat laporan polis berhubung isu tersebut.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.