AES: Mengapa Masa Berjanji Untuk Hapuskan Dulu Tidak Rujuk Maqasid Syariah – Syed Ibrahim


KUALA LUMPUR, 11 Feb – “Masa berjanji dulu untuk hapuskan mengapa tidak rujuk maqasid syariah,” bidas Ketua Penerangan UMNO Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Hasanuddin Mohd. Yunus bahawa pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) menepati maqasid syariah.

“Mengapa sekarang bila nak kekalkan apa yang Barisan Nasional (BN) buat dulu, baru nak rujuk maqasid syariah… Dulu masa BN buat kenapa kutuk dan menuduh berlaku kejam kepada rakyat tetapi bila mereka melakukan perkara yang sama, nada bertukar pula kononnya menepati maqasid syariah.

“Berapa kitab maqasid syariah yang mereka ada?” soal beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau ketika dihubungi oleh UMNO-Online.

Baru-baru ini, Hasanuddin berkata, pemasangan AES dan saman yang dikeluarkan bertujuan menjaga nyawa pemandu serta penumpang, keselamatan pengguna dan harta benda yang ada di atas lebuh raya menepati maqasid syariah dalam Islam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat menjelaskan kesimpulan itu dibuat berdasarkan perbualan dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Pilihanraya Pakatan Harapan Jumaat lalu. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.