Maklumat Akademik Palsu Satu Sejarah Hitam Kerajaan Malaysia Baharu

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, YB Mohd Shahar Abdullah menyifatkan pendedahan mengenai status ijazah dimiliki Timbalan Menteri Luar yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Marzuki Yahya yang didakwa palsu sebagai satu sejarah hitam bagi sebuah kerajaan Malaysia baharu.

Tegasnya membekalkan maklumat palsu merupakan suatu kesalahan yang amat besar dalam mana-mana organisasi apatah lagi sekiranya perkara itu benar membabitkan ahli pentadbiran kerajaan.

“Kita telah dididik daripada sekolah rendah lagi diajar menghantar borang membekal maklumat diri yang tepat dan sahih dan ada organisasi yang meletakkan peraturan sekiranya maklumat yang diberikan tidak benar maka dengan rela si pelaku itu  akan  dikenakan tindakan kesalahan membekalkan maklumat palsu.

“Sekiranya perkara ini berlaku di kalangan anggota pentadbiran kerajaan ia adalah satu sejarah hitam bagi sebuah kerajaan Malaysia baru, kerana kerajaan telah menunjukkan satu sifat kepada khalayak khususnya anak muda berkaitan sikap tidak berintegriti dan bertanggungjawab membekal maklumat palsu”, katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online di sini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Paya Besar seterusnya menegaskan jika isu maklumat palsu ini tidak diambil tindakan segera sudah pasti negara akan dilihat oleh masyarakat antarabangsa sebagai masyarakat yang tidak mempunyai kepedulian berkaitan kesahihan maklumat, sekaligus kredibiliti warga Malaysia dipandang rendah.

“Sebagai pemimpin pentadbiran , kita tidak boleh membekalkan maklumat yang salah atau palsu. Hakikatnya kita diajar, dididik dan membuat akujanji bahawa apa jua borang  yang diisi mstilah maklumat yang benar, jika ini berlaku dan tidak diambil tindakan ia satu sejarah hitam bagi Malaysia dan dianggap sebagai masyarakat yang tidak mementingkan maklumat benar.

“Jika pemimpin parti tertentu menganggap menipu itu bukan satu kesalahan yang besar maka pihak tersebut mempunyai kecelaruan dalam fahaman mereka. Jangan kita menegak benang yang basah. Sepatutnya mereka mengambil inisiatif agar mendesak pimpinan parti mereka agar mengambil tindakan apa yang berlaku”, ujarnya.

Namun jelas beliau lagi pihaknya tidak terkejut sekiranya pihak terbabit tidak berasa segan dan malu untuk terus menerima penipuan berkenaan kerana  sudah menjadi lumrah mereka yang suka menipu seperti mana yang mereka lakukan terhadap manifesto pilihan raya.

Isu penipuan akademik Setiausaha Agung PPBM itu timbul apabila seorang warganet dikenali Zulfahan Pagon menerusi Facebooknya mendakwa program pengajian jarak jauh (PJJ) Pentadbiran Perniagaan, di Universiti Cambridge, untuk ijazah sarjana muda, yang diikuti Marzuki sebenarnya tidak wujud.

Susulan itu, beberapa pihak menggesa polis menyiasat  Marzuki atas dakwaan memalsukan kelayakan akademik

Marzuki bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan memberitahu sedia mengemukakan bukti bagi mengesahkan beliau graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari universiti terkemuka berkenaan.

Namun, semalam beliau mendakwa ijazah dalam bidang Pentadbiran Perniagaan beliau adalah dari Cambridge International University yang berpusat di Amerika Syarikat dan bukan University of Cambridge di United Kingdom. -MediaUMNO