Haji Hadi VS Sarawak Report : Menang? Tewas Atau Seri?

Pada 6/8/2016, Sarawak Report (SR) menerbitkan perkataan-perkataan berikut:

“Beliau (DS Najib) telah membujuk/memikat PAS meninggalkan pakatan pembangkang – RM90 juta telah mengalir kepada barisan pemimpin atasan PAS dalam beberapa bulan kebelakangan ini”

2. TGHH, di dalam kapasiti peribadinya, telah menyaman SR kerana menerbitkan perkataan-perkataan tersebut.

3. Dalam pembelaannya, SR mengatakan perkataan-perkataan tersebut TIDAK merujuk kepada TGHH.

4. Sebaliknya ia merujuk satu kelas yang besar meliputi ahli Majlis Syura, Jawatankuasa Tertinggi PAS, Dewa Ulamak, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, para Senator, Ahli Parlimen dan Adun-Adun PAS.

5. Seterusnya di dalam pembelaannya lagi, SR mengatakan bahawa jika sekiranya ia mampu merujuk kepada TGHH, perkataan-perkataan tersebut adalah BENAR, kerana TGHH selaku Presiden mempunyai pengetahuan tentang pengaliran wang ini ke pemimpin-pemimpin tertinggi PAS.

6. Jelas, kes SR di Mahkamah adalah, TGHH BUKAN penerima rasuah RM90 juta daripada DS Najib.

7. Untuk berjaya di dalam pembelaannya, SR mesti membuktikan bahawa:

a) wang sebanyak RM90 juta mengalir ke akaun pemimpin-pemimpin tertinggi PAS;

b) wang ini sumbernya adalah DS Najib;

c) wang ini adalah rasuah yang bertujuan untuk membujuk/memikat PAS meninggalkan pakatan pembangkang; dan

d) TGHH tahu wang daripada DS Najib Razak berjumlah RM90 juta yang mengalir ke akaun pemimpin-pemimpin tertinggi PAS adalah rasuah untuk membujuk/memikat PAS meninggalkan pakatan pembangkang.

8. Bagi menjayakan pembelaan ini, SR telah mendakwa beberapa pemimpin kanan PAS iaitu Ust. Nasharuddin, Ust. Nik Abduh, SUA Hj Takiyuddin dan Ust. Shamsuri telah menerima bayaran-bayaran rahsia daripada DS Najib.
Tiada butiran diperincikan di dalam pembelaan SR.

9. Selain itu SR juga menyenaraikan beberapa harta pemimpin-pemimpin PAS yang kononnya diperolehi melalui ‘kekayaan mengejut’.
Sekali lagi, tiada butiran mengenai sumber kewangan diperincikan.

10. Pada tahap ini, TGHH sudahpun boleh menarik balik samannya terhadap SR kerana menurut SR, TGHH BUKAN orang yang dimaksudkan dalam artikel tersebut dan TGHH BUKAN penerima wang rasuah DS Najib.
Integriti TGHH tidak terusik dan reputasi bersih beliau terpelihara.

11. Namun SR kemudiannya telah meminda pembelaannya untuk menggugurkan perkara tentang ‘kekayaan mengejut’ pemimpin PAS. Sebaliknya SR memasukkan dua ‘bukti’ baru yang akan dijadikan sandaran untuk membuktikan kes SR:

a) rakaman suara Ust. Nik Abduh

b) pembayaran wang oleh seorang bernama Shamsul Zairil Kamaruddin, bagi pihak seorang ‘Hamba Allah’ berjumlah RM1 juta dan RM1.5 juta ke dalam 2 tabung PAS

12. Rakaman Ust Nik Abduh menyebut, antara lainnya:

“Tok Guru Nik Aziz terima duit UMNO, Tok Guru Haji Hadi terima duit UMNO, Ambo terima duit UMNO. Itu pandainya kita. Bodoh ke UMNO…Cuma Tok Guru pesan jangan gunakan untuk tujuan peribadi…”

13. Rakaman ini TIDAK menyebut duit DS Najib. Ia TIDAK menyatakan jumlahnya RM90 juta. Ia juga TIDAK menyatakan tujuan duit ini adalah untuk membujuk/memikat PAS meninggalkan pakatan pembangkang. Dengan bergantung kepada rakaman ini, SR tidak akan berjaya membuktikan pembelaannya.

14. Begitu juga bayaran oleh Shamsul. Jumlahnya cuma RM2.5 juta, bukannya RM90 juta. Dia disifatkan oleh SR sebagai ‘pegawai UMNO’. SR sendiri tidak mengkaitkan beliau dengan DS Najib. Wang itu pergi ke 2 tabung PAS, bukan mengalir ke pemimpin-pemimpin PAS. Sekali lagi, pembelaan SR tidak akan berjaya dengan ‘bukti’ ini.

15. Setelah mengkaji keseluruhan kes beliau dan kes SR, TGHH telah menarik balik samannya terhadap SR.

16. Jika TGHH teruskan, beliau mungkin tidak akan berjaya kerana artikel dan segala bukti yang SR bakal kemukakan, tidak menjurus kepada TGHH sebagai penerima wang rasuah. Harus diingat, kes TGHH di bawa atas kapasiti peribadi.

17) Tiada apa untuk SR sorakkan. Nasib yang sama menanti mereka. SR juga tidak akan berjaya membuktikan DS Najib membayar RM90 juta kepada pemimpin-pemimpin PAS untuk membujuk/ memikat PAS meninggalkan pakatan pembangkang.

18) Penyokong SR dan PH kini cuba bermain persepsi kononnya TGHH telah menarik balik samannya kerana dakwaan SR terhadap PAS itu benar.

19) Maaf, ini kes sivil. Tiada ruang untuk bermain persepsi di dalam kes sivil. Kedua-dua pihak disyaratkan oleh undang-undang untuk menzahirkan keseluruhan kes mereka.
Berdasarkan yang zahir, kita sudah nampak dakwaan SR meleset.

20) Jika mahu melayani persepsi, tidakkah perkara-perkara berikut menjadi relevan:

a) SR adalah mesra Kerajaan PH;

b) kesemua akaun DS Najib telah disiasat dengan teliti;

c) pengaliran wang daripada akaun-akaun tersebut telah mengakibatkan akaun-akaun pihak ketiga dibekukan;

d) akaun pemimpin-pemimpin PAS tidak disiasat berhubung RM90 juta berian DS Najib;

e) akaun pemimpin-pemimpin PAS tidak dibekukan berhubung pengaliran RM90 juta;

f) jika hal ini dibuktikan melalui siasatan, ia akan memberi manfaat kepada kes SR;

g) jika SR mempunyai maklumat tentang RM90 juta, SR juga akan bekalkan kepada penyiasat

Berlapang dada dan bersyukurlah pemimpin kita tidak tercalar angkara dakwaan liar dan tidak berasas.

Kita tunggu Ambiga ceritakan perihal RM90 juta ini. Kata Claire Brown, Ambiga yang bagi maklumat…

Hasnal Rezua Merican (Pengamal Undang-Undang)