Tubuh Badan Ekonomi Ala MTEN Bukti Menteri Kewangan Dan CEP PH Gagal Berfungsi – Dr. Shamsul

KUALA LUMPUR, 3 Feb – Penubuhan sebuah badan yang akan meneliti dan membuat keputusan berhubung ekonomi negara jelas memperlihatkan kegagalan Menteri Kewangan serta Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) kerajaan Pakatan Harapan (PH), bidas Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Katanya, satu perkara yang menarik untuk diteliti adalah sebahagian rakyat mungkin menganggap pengwujudan badan tersebut yang berperanan seperti yang pernah dijalankan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sebagai penyelamat.

“Namun bagi sesetengah pemain industri, mereka masih menganggap tempoh lapan bulan kerajaan PH berkuasa masih kosong dengan petunjuk baru.

“Ini bukan cerita rekaan, malahan diakui Ketua Pakar Ekonomi Alliance Bank Malaysia Berhad secara sinikal berkata: “Kita dijanjikan oleh PH dengan janji era baru, tetapi selepas lapan bulan, kita belum nampak terbit sinar matahari baru.

“Apa yang berlaku adalah kecelaruan. Tidak ada arah tuju jelas dalam bidang pembinaan misalnya. Kementerian-kementerian pula bercanggah sesama sendiri. Malahan sepatutnya, ada komunikasi yang lebih baik antara kerajaan dan dunia pelabur,” ujarnya dalam satu kenyataan media yang turut memetik kata-kata pakar ekonomi tersebut.

Jelas Ahli Parlimen Lenggong itu lagi, kelemahan dan kegagalan Lim Guan Eng selaku menteri kewangan dibuktikan apabila beliau tidak mampu melaksanakan tanggungjawab sepatutnya.

“Keadaan boleh dilihat apabila Indek Bursa Malaysia dalam kedudukan tidak memberangsangkan dan nilai Ringgit terus lemah di mana RM4.16 berbanding USD1. Malah pelaburan asing sejak Mei 2018 begitu merosot dan suram sama sekali.

“Malah beberapa isu ekonomi dan projek pembangunan umpamanya Projek ECRL (Projek Laluan Rel Pantai Timur) gagal ditangani oleh Guan Eng dengan baik. Semua ini menimbulkan kegelisahan pelbagai pihak dan pastinya menimbulkan kecelaruan di pelbagai pihak.

“Nampaknya Guan Eng gagal melakukan sesuatu untuk memberikan suntikan baik kepada ekonomi negara,” tegasnya.

Katanya lagi, ini ditambah dengan sikap Setiausaha Agung Dap itu yang masih dalam alam ‘blame game’ dengan asyik menyalahkan kerajaan yang lama, sedangkan lebih 30 juta rakyat Malaysia sudah beberapa kali mengingatkannya supaya ‘move foward’ dengan dasar-dasar pragmatis dan lebih baik.

Dalam pada itu, Dr. Shamsul turut berpendapat cadangan penubuhan majlis ini juga memperlihatkan bahawa Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang diwujudkan dan diketuai Tun Daim Zainudin awal pemerintahan Kerajaan PH, gagal mengemukakan suatu halatuju baru yang kononnya mahu dibawa Kerajaan PH.

“Jika diamati, pada saat ketika CEP mula-mula diwujudkan, harapan rakyat begitu tinggi menggunung kepada CEP yang dibarisi tokoh-tokoh berwibawa. Tetapi selepas beberapa bulan, tidak nampak banyak idea baru diketengahkan.

“Sebaliknya, apa yang rakyat nampak adalah proses penjenamaan semula satu demi satu program atau dasar yang pernah dilaksanakan kerajaan sebelum ini, hinggakan ada yang menamakannya dasar ‘copy paste’,” sinisnya.

Justeru katanya, ini menyebabkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ‘hilang sabar’ hingga fungsi perancangan ekonomi ditarik balik dari Guan Eng.

“Apa lagi sejak beberapa bulan ini nampak sangat ‘berlaku perang besar’ antara ‘team’ Azmin dan Guan Eng, Dr Mahathir seolah memberikan ‘markah merah’ kepada Guan Eng.

“Penubuhan badan ala MTEN itu adalah umpama mengambil sebahagian kuasa eksekutif Menteri Kewangan,” tambahnya. – Media UMNO