PH Kini ‘Cacing Kepanasan’, ‘Melompat Tak Keruan’ Gagal Sembunyi Kepincangan Sendiri


NIBONG TEBAL, 3 Feb – Sejak akhir-akhir ini pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) seperti ‘cacing kepanasan’ serta ‘melompat tak keruan’ setiap kali bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengeluarkan kenyataan di Facebook sama ada secara fakta mahupun sindiran dan juga program santai bersama rakyat.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, Mohd Norhiesam Ismail berpendapat setiap kali ‘posting’ Najib mendedahkan kepincangan Kerajaan PH di medium media sosialnya, ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

“Ini ditambah pula dengan pendekatan bersahaja Najib bersama rakyat telah menjadi fenomena baru kepada negara kita.

“Saya yakin Kerajaan PH sekarang semakin resah sekarang kerana Najib telah berjaya mendedahkan pelbagai kepincangan dalam pentadbiran mereka kepada rakyat. Contoh terbesar ialah tentang isu harga minyak, pemotongan peruntukan makanan kepada pelajar Sekolah Berasrama Penuh, AES dan banyak lagi.

“Lebih menakutkan Kerajaan PH, mereka gagal menjawab dengan tepat dan akhirnya terdiam seribu bahasa hasil fakta dan sindiran Najib,” ujar Norhiesam dalam satu kenyataan media yang turut disertakan tanda pagar (hashtag) #MaluApaBossku.

Tambahnya, ketakutan dan keresahan Kerajaan PH walaupun cuba disembunyikan namun terbukti apabila kelmarin lima laporan polis telah dibuat oleh ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Langkawi ke atas Najib yang bersantai bersama masyarakat di Langkawi.

“Alasan yang diberikan adalah bimbang dengan keselamatan dan ketenteraman penduduk Pulau Langkawi.

“Pemuda UMNO Nibong Tebal melihat laporan polis ini sebagai satu tindakan paling bodoh yang dibuat oleh mereka dan menunjukkan keresahan memuncak kerajaan PH terhadap momentum Najib kepada rakyat semakin kuat.

“Ditambah pula sambutan hebat rakyat kepada Najib di tempat Perdana Menteri (Tun Mahathir, Ahli Parlimen Langkawi),” katanya.

Justeru jelas Norhiesam, beliau yakin rakyat kembali menilai dan sedar setelah sembilan bulan Kerajaan PH memerintah negara seakan huru-hara, rakyat terhimpit dengan bebanan hidup, ekonomi merudum teruk dan paling besar rakyat ditipu dengan manifesto yang tidak dapat ditunaikan sehingga kini.

“Najib telah berjaya membuktikan bahawa Kerajaan PH sekarang merupakan sebuah kerajaan yang gagal mengurus negara dengan baik dan terpaksa berkali-kali ‘U-Turn’ akibat ditegur dan disindir oleh beliau. Inilah ketakutan yang dahsyat oleh Kerajaan PH.

“Kepada kerajaan PH, tunaikanlah manifesto yang dijanjikan. Semakin hari semakin banyak kesilapan yang telah dibuat. Selagi itulah Najib dan rakyat akan terus ‘troll’ pentadbiran PH.

“Inilah natijahnya sebuah kerajaan yang dipilih lahir daripada fitnah,” tegasnya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.