Kemenangan Kerjasama BN, PAS Di PRK Semenyih Untuk Tunjuk Referendum Kepada Kerajaan PH

TANJONG KARANG, 2 Feb – Ahli Majlis Tertinggi UMNO Tan Sri Noh Omar berharap kerjasama yang kini terjalin antara UMNO dan PAS akan membawa kemenangan  calon BN pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih nanti.

“Kita harap kerjasama  PAS dan UMNO pada PRK itu kelak dapat menolak calon Parti Pribumi Bersatu  Malaysia (Bersatu) bagi menunjukkan referendum rakyat kepada kerajaan Pakatan Harapan,” katanya selepas menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Sungai Burong, di sini hari ini.

Bagaimanapun kata beliau, walaupun ini merupakan PRK pertama calon kedua-dua parti berkenaan bertembung, namun pihaknya menerima hakikat keadaan politik di Selangor adalah berbeza berbanding PRK  di Cameron Highlands baru-baru ini yang  menyaksikan kemenangan calon BN.

Katanya, ini kerana di Pahang, BN masih menjadi kerajaan negeri manakala di Selangor, BN merupakan pembangkang sejak tiga penggal lepas.

“Kalau UMNO menang di situ (Semenyih), ia bermakna perjuangan kita masih diperlukan kerana dengan trend hari ini, tak mustahil ianya  boleh berlaku,” katanya.

Pas sebelum ini mengumumkan tidak akan meletakkan calon dalam PRK itu dan sekali gus memberi laluan kepada wakil BN untuk bertanding.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan kematian penyandang kerusi itu, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Pada PRU-14  lalu, Bakhtiar mengetepikan penyandangnya Datuk Johan Abdul Aziz (BN); Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bakhtiar  mengalahkan Johan daripada UMNO yang menjadi wakil rakyat kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon pada 16 Feb, hari mengundi awal 26 Feb dan hari mengundi pada 2 Macdepan.-Bernama

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.