Era 22 Tahun Tun M Terajui UMNO, Tanamkan Benci Kepada PAS Sudah Berlalu – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 2 Feb – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ‘simpati’ kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat semakin terdesak kesan kerjasama antara UMNO dan PAS yang semakin baik.

Menurut Dr Asyraf di Facebooknya, zaman ketika 22 tahun Tun Mahathir menerajui UMNO dengan menanam perasaan benci parti PAS sudah berlalu.

“Sekurang-kurangnya UMNO sudah melepasi era 22 tahun Tun sebagai Presiden UMNO dulu yang sentiasa tanam perasaan benci pada PAS.

“Insya-Allah UMNO dan PAS akan terus menjalinkan kerjasama atas nama Islam dan penyatuan ummah kerana itulah yang rakyat mahukan,” tegasnya.

Dr Asyraf memberi reaksi demikian ketika mengulas kenyataan Tun Mahathir yang mengatakan “Sebab mereka (pembangkang) menang, kita percaya kerana adanya gabungan di antara PAS dengan parti kafir UMNO,” dalam komennya berhubung kekalahan Pakatan Harapan (PH) di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, sebagaimana dilaporkan dalam sebuah portal online.

Tambah Dr Asyraf lagi, kelemahan dan kesilapan lampau akan dijadikan iktibar kerana yang lebih mustahak adalah untuk maju ke hadapan memastikan Islam terpelihara serta kepentingan rakyat tanpa mengira agama dan kaum terbela.

Dalam ruangan komen di status Facebooknya itu, majoriti warganet menyokong usaha permuafakatan tersebut.

Antaranya seperti Nazri Atteratai, seorang pendokong PAS yang menyatakan amat-amat bersetuju.

“Perlu penyatuan kerana Islam sahaja yang boleh menyatukan fikrah manusia.”

Begitu juga bagi Mohamad Hamdee: “Saya menyokong penyatuan ummah, demi Islam dan bangsa, demi tanah air yang Allah amanahkan untuk kita jaga sebaiknya.”

Manakala bagi Wan Manan mengharapkan agar penyatuan antara dua parti terbesar umat Islam itu mampu memartabatkan agama dan umatnya.

“Semoga penyatuan ini dapat menyatukan Islam dan Melayu ke arah memartabatkan agama dan bangsa yang kuat tanpa diperkotak-katikkan bangsa lain di bumi ini.” – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.