Kemenangan BN Di Cameron Highlands Suntik Semangat Wanita UMNO Untuk PRK Semenyih

KUALA LUMPUR, 1 Feb – Pergerakan Wanita Hulu Langat hari ini yakin kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands minggu lalu akan menyuntik semangat jentera parti khususnya jentera sayap pergerakan itu dalam usaha membantu parti mencapai kemenangan kelak.

Ketuanya Rohani Kasim berkata kemenangan dengan majoriti besar yang dicapai oleh parti pada PRK Cameron Highlands tentunya memberikan sedikit kelebihan kepada mereka untuk terus mengorak langkah merangka pelbagai strategi serta pelaksanaan apabila bermulanya kempen PRK Dewan Undangan Negeri (DUN )N24 Semenyih nanti.

“Insya-Allah… kita yakin akan dapat merebut kembali kerusi DUN Semenyih yang pengundiannya diadakan pada Mac ini.

“Untuk PRK Semenyih ini, sayap Wanita sudah bersedia dan yakin dapat merampas kembali kerusi yang dimiliki oleh PH sebelum ini, keyakinan kami berdasarkan gerak kerja yang sudah dijalankan selama ini”, katanya ketika dihubungi UMNO Online, disini hari ini.

Beliau sedia mengharapkan kerjasama UMNO dan PAS serta rakan-rakan di dalam komponen BN dapat membantu dan melicinkan lagi gerak kerja dan kerjasama sepanjang kempen berkenaan kerana sudah tentu penglibatan menyeluruh akan memberi nilai cukup tinggi kerpada parti.

“Kerjasama antara UMNO dan PAS amat baik dan sebagai pemangkin semangat semenjak ia dilakukan lebih erat pada PRK Cameron Highlands, dan kami mengharapkan kerjasama ini berterusan demi mempertahan Islam dan Melayu yang kini ditindas oleh PH,” ujarnya.

Ujarnya lagi pengundi PAS yang mengundi pada PRU yang lalu seramai 6,966 di harap dapat menyokong dan akan mengundi BN pada PRK DUN Semenyih ini.

PRK yang akan diadakan di Semenyih ini, adalah PRK yang keenam selepas Cameron Highlands baru-baru ini. Kerusi DUN berkenaan dimenangi oleh Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor dari PH yang meninggal dunia akibat serangan sakit jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian pada 2 Mac, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 16 Februari dan tarikh pengundian awal pada 26 Februari.- MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.