UMNO Sabah Terus Mengorak Langkah, Perkasakan Parti Demi Khidmat Kepada Rakyat – Jafry

KUALA LUMPUR, 31 Jan – UMNO Sabah yakin dan percaya kekuatan dan semangat yang ada pada ahli, seluruh pimpinan dan pendokong parti masih utuh dan tidak terganggu-gugat dengan senario yang ada pada hari ini kerana masing-masing mahu melihat UMNO terus ke depan.

Setiausahanya, Datuk Jafry Arifin berkata dalam mengharungi pelbagai cabaran dan segala rintangan, semangat yang ada perlu sama-sama dikekalkan kerana usaha membela nasib rakyat dan penduduk setempat perlu diteruskan selaras dengan perjuangan parti iaitu berkhidmat untuk semua.

“Justeru kepada semua kepimpinan yang ada baik peringkat akar umbi hinggalah kepada kepimpinan parti di pelbagai peringkat, kita sama-sama mengambil semangat untuk bangkit ke depan dalam merencana gerakan dan juga pelaksanaan yang tuntas di peringkat parti.

“Umum mengetahui apa yang berlaku di Sabah sebelum ini dan kita sebagai pimpinan yang ada tidak akan menoleh ke belakang kerana kita penuh yakin serta percaya permuafakatan yang terjalin akan terus ditingkatkan dari semasa ke semasa dalam usaha memperkasakan UMNO Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Jelasnya, bersesuaian dengan persidangan cawangan-cawangan UMNO seluruh Malaysia yang akan bermula pada pertengahan Februari nanti ianya adalah asas terbaik untuk sama-sama merapatkan saf.

“Inilah masa yang tepat untuk kita semua merapatkan semula saf perjuangan dan merancang semula gerak kerja UMNO di cawangan-cawangan. Kepada pemimpin UMNO dan seluruhnya, inilah saat yang paling tepat untuk bertemu mesra bersama-sama dengan ahli UMNO di akar umbi.

“Insya-Allah apa jua halangan dan apa jua rintangan, kita bersama-sama untuk mengharunginya dan yang pasti UMNO Sabah tidak akan terkubur begitu sahaja malah akan terus berkhidmat untuk rakyat Sabah. Pemimpin datang dan pegi namun perjuangan ikhlas di dalam parti akan membawa kenikmatan kerana inilah perjuangan suci dan murni… Insya-Allah,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.