Kerajaan PH Ibarat Ludah Ke Langit, Jatuh Ke Muka Sendiri – Rosnah

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mempersoalkan pelantikan beberapa pimpinan Pakatan Harapan (PH) di dalam agensi tertentu yang dilihat bukan sahaja bertentangan dengan manifesto mereka sendiri malah memperlihatkan sikap sebenar mereka setelah mendapat kuasa pemerintahan.

Menurut beliau jika sebelum ini kerajaan Barisan Nasional (BN) sering ditohmah dan dilabelkan dengan pelbagai gelaran ternasuklah soal kronisme serta nepotisme, namun apa yang berlaku hari ini adalah sebaliknya apabila beberapa pimpinan yang dikatakan daripada parti politik tertentu telah dilantik ke dalam agensi kerajaan sepertimana ditularkan hari ini.

“Tuduh-tuduhan yang dilemparkan oleh PH selama ini kepada kepimpinan terdahulu ibarat ludah ke langit dan jatuh ke muka sendiri.

“Janganlah mengata orang tapi diri sendiri yang lebih kerana perkara ini rakyat akan menilai, perbuatan dan kata-kata pemimpin PH yang tidak boleh dipercayai, rakyat menyaksikan sejauh mana efektif mereka sebagai kerajaan,” katanya ketika dihubungi UMNO-Online, di sini hari ini.

Rosnah seterusnya menambah, kerajaan hari ini sewajarnya melihat kepentingan dan kebajikan rakyat yang perlu diutamakan.

“Sepatutnya kerajaan yang dipilih ini efektif dalam menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat namun ketika ini dilihat seolah-olah ang menjadi agenda penting ialah mereka perjuangkan kroni-kroni terlebih dahulu.

“Dalam tempoh 10 bulan kita dapat menilai pemimpin-pemimpin muda PH lebih suka berswafoto, suka mencari populariti serta tidak menjaga kebajikan orang muda,” ujarnya lagi.

Terbaru, senarai yang didakwa sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang baharu telah tersebar di media sosial melibatkan lantikan pemimpin-pemimpin dari kalangan Pan, Dap, PKR dan PPBM.

Sebelum ini PH telah melantik aktivis undang-undang dari PPBM, Mohamed Haniff Khatri Abdulla sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti tersebut, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi mengetuai Mara Corporation Sdn Bhd selain Datuk Dr. Sukiman Sarmani sebagai Pengerusi UNITEK-Mara.

Bukan itu saja, peguam yang sering mewakili Dap dan PKR, Sankara N. Nair telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), manakala Azhar Harun yang juga aktivis PPBM dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibuat tanpa melalui perakuan Parlimen.

Sebagai rekod, di dalam manifesto PH, menerusi Janji 22 ada menyebut, ‘Menjadikan pentadbiran semua syarikat milik kerajaan (GLC) setaraf dengan piawaian antarabangsa’ dan akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah ke dalam GLC nasional dan negeri adalah dari kalangan golongan professional, dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka.

Begitu juga Janji 21, ‘Memperkasa perkhidmatan awam’, kerajaan PH akan meletakkan sektor perkhidmatan awam kembali ke tempat yang sewajarnya dengan memastikan para pegawai kerajaan tidak terlibat atau terpengaruh dengan sentimen politik kepartian dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.