Tuduh BN Menang Kerana Isu Perkauman, PH Hanya Cari Alasan Tutup Kelemahan Sendiri


TEMERLOH, 29 Jan – Ahli Majlis Teringgi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, Pakatan Harapan (PH) hanya mencari alasan kepada kekalahan mereka di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dengan menuduh kemenangan Barisan Nasional (BN) adalah kerana memainkan isu perkauman.

Jelas beliau, PH harus menerima kekalahan mereka ini adalah satu referendum rakyat.

“Mereka harus terima rakyat sedang marah… yang jadi mangsa apa yang dibuat oleh Dap dalam PH adalah majoritinya orang Melayu… mestilah orang Melayu marah dan ini bukan soal perkauman.

“Mereka kena faham, dasar yang mereka buat menekan hidup rakyat. Contohnya orang Felda, takkan orang Felda nak undi PH lagi sebab pendapatan mereka terjejas teruk sejak PH memerintah.

“Sekarang BR1M tidak ada, kos sara hidup naik, kebajikan nelayan tidak dijaga dan orang muda rasa tertipu dengan janji PTPTN. Ini semua menjadi punca kemarahan rakyat dan ia diterjemahkan dalam bentuk undi di Cameron Highlands,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Sharkar yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang, PH jangan buat-buat lupa ingatan terhadap ungkapan Melayu, Cina dan India tidak akan mengundi Orang Asli ataupun membeli kuih dari mereka.

“Bukan kita yang cakap tetapi mereka yang memulakan langkah songsang di PRK Cameron Highlands. Ini belum lagi cerita mengugut Tok Batin dan menuduh Orang Asli bukan warganegara penuh Malaysia.

“Jadi, sendiri yang tidak pandai menari, janganlah salahkan lantai tidak rata pula,” bidas Sharkar.

Pada PRK Cameron Highlands yang lalu, BN berjaya mempertahankan kerusi Parlimen tersebut dengan majoriti lebih besar menerusi kemenangan pertama dalam PRK selepas pilihan raya umum lalu, dengan calonnya, Ramli Mohd Nor mencatat sejarah menjadi wakil Orang Asli pertama di Dewan Rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bekas pegawai kanan polis itu mendapat 12,038 undi, menewaskan pencabar terdekat daripada PH, M Manogaran yang memperolehi 8,800 undi, manakala dua calon bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee masing-masing mendapat 314 undi serta 276 undi.

Majoriti 3,238 undi yang diperolehi BN semalam adalah yang tertinggi sejak pilihan raya umum pada 2008, 2013 dan 2018, iaitu 3,117 undi, 462 undi dan 597 undi.

Ini juga adalah kekalahan ke-3 berturut-turut Manogaran di Cameron Highlands sejak pilihan raya umum ke-13. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.