PRK Cameron Highlands: Tuduh BN Main Isu Perkauman, PH Patut Cermin Diri


KUALA LUMPUR, 30 Jan – Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Farid Mohd Nor membidas tuduhan pemimpin Pakatan Harapan (PH) kononnya kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands adalah kerana memainkan isu perkauman.

Jelasnya, PH seharusnya mencermin diri sendiri sebelum membuat tuduhan tidak berasas sebegitu.

“Tuduhan itu ibarat ludah ke langit terkena muka sendiri… mungkin mereka lupa siapa yang memainkan isu perkauman di PRK tersebut sehingga menimbulkan kemarahan di kalangan masyarakat Orang Asli. Calon mereka yang secara terang-terangan mainkan isu perkauman bila menuduh orang Melayu tidak beli kuih dari Orang Asli.

“Mereka sendiri yang tidak betul, kenapa nak tuduh BN menang dengan isu perkauman. Bagi saya isu perkauman tidak timbul di PRK Cameron Highlands, kalau isu perkauman dimainkan takkan Orang Asli sokong BN,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Farid, sejak awal lagi BN tidak sesekali memainkan isu perkauman dan ia terbukti apabila calon yang diketengahkan oleh BN adalah dari kalangan Orang Asli sendiri.

“BN ambil langkah berani dengan mengenengahkan calon dari Orang Asli sebagai bukti BN terbuka dan memberi peluang sama rata kepada sesiapa sahaja. BN juga tidak meminggirkan mana-mana kaum malah jentera BN sendiri terdiri dari pelbagai kaum yang diwakili komponen masing-masing.

“Sekiranya UMNO ketika berkempen menyebut berkaitan Islam dan Melayu, itu bukan perkauman kerana Islam adalah agama rasmi negara ini dan Melayu adalah kaum paling ramai di negara ini,” ujar beliau lagi.

Pada PRK Cameron Highlands yang lalu, BN berjaya mempertahankan kerusi Parlimen tersebut dengan majoriti lebih besar menerusi kemenangan pertama dalam PRK selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, dengan calonnya, Ramli Mohd Nor mencatat sejarah menjadi wakil Orang Asli pertama di Dewan Rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bekas pegawai kanan polis itu mendapat 12,038 undi, menewaskan pencabar terdekat daripada PH, M Manogaran yang memperolehi 8,800 undi, manakala dua calon bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee masing-masing mendapat 314 undi serta 276 undi.

Majoriti 3,238 undi yang diperolehi BN semalam adalah yang tertinggi sejak pilihan raya umum pada 2008, 2013 dan 2018, iaitu 3,117 undi, 462 undi dan 597 undi.

Ini juga adalah kekalahan ke-3 berturut-turut Manogaran di Cameron Highlands sejak PRU ke-13. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.