Kenyataan Suku Masak, ‘Flip Flop’, ‘U-Turn’, ‘S-Turn’, PH Perbodohkan Rakyat?


KUALA LUMPUR, 30 Jan – Rakyat sedang memerhatikan pelbagai adegan ‘flip-flop’ kerajaan Pakatan Harapan (PH) atau lebih tepat digelar pakatan huru-hara dengan pelbagai drama ‘u-turn’, ‘s-turn’ dan batal janji yang berlaku, sehinggakan bukan saja pelabur yang was-was untuk melabur, malahan kakitangan kerajaan dan orang awam sendiri keliru dan haru-biru.

Justeru bagi Jabatan Komunikasi Strategik, Penerangan UMNO Malaysia melihat kepada kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya terdapat kelemahan dalam kerajaan, menteri-menterinya ‘buat silap kenyataan’ dan ‘kenyataan bercanggah kerana kabinet masih baru’ membuatkan masyarakat umum terfikir apakah perkara tersebut seperti disengajakan.

“Banyak persoalan yang timbul di benak fikiran. Takkan sesama menteri tak ada ‘consultation’? Takkan setiausaha-setiausaha yang dibayar ribuan gaji, tak buat semakan? Takkanlah kerajaan sendiri tak ada satu sekretariat yang boleh ‘monitor’ kenyataan-kenyataan yang sudah, sedang dan akan dibuat oleh pak menteri?

“Percanggahan kenyataan atau kenyataan ‘half past six’ pak menteri-menteri dalam kerajaan Pakatan HuruHara ini bukan kali pertama berlaku.

“Bermula daripada kenyataan pasal stokin dan kasut hitam putih, hutang negara yang sekejap trilion sekejap bilion, status aset pertahanan negara, bayaran duit peneroka, hinggalah yang terbaru pasal Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), pak-pak menteri nampaknya main cakap sedap hati saja, tanpa mengenok impaknya kepada tahap intelektual rakyat,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Justeru bidasnya lagi, rakyat negara ini pada zaman milineum dan celik siber ini tidak suka diperbodoh-bodohkan dengan kenyataan ‘suku masak’ kerana mereka sebenarnya tahu dan dapat melihat apa yang berlaku.

“Malah ada rakyat yang menepuk dahi ketawa apabila seorang timbalan menteri berkata, hasil susu getah boleh meningkat pada musim tengkujuh kerana pokok getah masih boleh ditoreh!

“Ada pula timbalan menteri lain yang kata ekonomi Malaysia sekarang masih ‘okay’, sedangkan rakyat di bawah merana dan bergelut kerana kos sara yang meningkat.

“Ada pula pemimpin yang asyik keluar negara, sedangkan perbelanjaan minyak pesawat itu boleh dihalakan kepada meringankan beban hidup rakyat,” tegasnya.

Namun, menurut kenyataan tersebut, apa lebih menarik yang ingin rakyat ketahui di sini adalah apakah kriteria pemilihan pak-pak menteri ini semasa pelantikan dibuat.

“Faktor kebijaksanaan atas kertas atau pengalaman? Atau berdasarkan kekananan jawatan dalam parti?

“Jika diamati, majoriti kenyataan lintang pukang ini datangnya dari pemimpin atau menteri yang belum ‘masak’ dalam mentadbir negara.

“Tapi anehnya, ada juga kenyataan itu datang dari pemimpin yang sudah ‘terlebih masak’, terbaharu kenyataan ECRL dan juga status kewarganegaraan Orang Asli oleh ‘Uncle Lim’,” katanya lagi.

Walaupun begitu, terdapat satu persoalan yang cukup menarik untuk diteroka, tegas Jabatan Komunikasi Strategik itu lagi.

“Apakah semua kenyataan ni bertujuan memalukan Dr Mahathir? Menteri Dap sengaja tersilap cakap? Menteri Amanah atau PKR sengaja ‘mensilapkan’ kenyataannya? Adakah semua ini sabotaj kepada Perdana Menteri ?

“Sebagai rujukan, semasa pemilihan menteri-menteri dan timbalan menteri ini dibuat, semua pemimpin parti membuat kenyataan ‘menyerahkan keputusan itu kepada kebijaksanaan Dr Mahathir (Perdana Menteri) tanpa bantahan’.

“Sedangkan, jauh di benak hati kita, mestilah ada kalangan pemimpin atau ketua-ketua Dap, PPBM, PKR, Amanah itu tahu kemampuan sebenar anak buah mereka. Kalau ada kalangan anak buah itu diketahui tidak kompeten dan mereka dimasukkan dalam senarai Dr Mahathir, maka sudah tentulah Dr Mahathir disabotaj oleh parti-parti komponennya sendiri dari awal,” tegasnya lagi.

Seterusnya tambahnya juga, secara tidak langsung menimbulkan persoalan apakah yang berlaku itu seolah-olah balasan kepada mereka.

“Apakah ini seolah balasan yang didatangkan ke atas sebuah kerajaan yang didirikan atas asas-asas fitnah?

“Dan apakah sabotaj dalaman kepada pentadbiran Dr Mahathir oleh Dap, Amanah, PKR ini akan berterusan? Sama-sama kita saksikan,” ujarnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.