UMNO Kutuk Peguam Negara Sembunyi Fakta, Tindakan Memalukan


KUALA LUMPUR, 29 Jan – UMNO mengutuk dan menggesa sekeras-kerasnya supaya Peguam Negara mengambil pertanggungjawaban penuh berhubung kegagalan besar beliau dalam menangani kemelut penubuhan tribunal khas bagi menyiasat sama ada wujud salah laku oleh enam pesuruhjaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengendalikan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), tegas Timbalan Presiden yang menjalankan tugas presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Malahan katanya, kegagalan Peguam Negara, Tommy Thomas menasihati Perdana Menteri (PM), Tun Mahathir Mohamad dan Yang DiPertuan Agong (YDPA) amat memalukan dan tidak boleh diterima.

“Harus diingatkan, tugas Peguam Negara bukan sahaja memberi nasihat berkaitan undang-undang. Tetapi memastikan nasihat yang diberikan itu terus sesuai, tepat dan praktikal dengan konteks semasa.

“Jika berlaku sebarang perubahan fakta, menjadi tanggungjawab Peguam Negara untuk memaklumkan perkara tersebut kepada negara, kepada YDPA dan kepada pihak yang berkaitan.

“Kegagalan Peguam Negara ini telah menyebabkan Tribunal yang ditubuhkan tersebut sekadar bersifat akademik, sia-sia dan tidak memberikan apa-apa kesan yang produktif. Malah ia menyebabkan berlakunya pembaziran masa dan sumber negara,” jelas Mohamad dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tahun lalu, Peguam Negara, Tommy Thomas telah menasihati Perdana Menteri, seterusnya YDPA akan keperluan menubuhkan sebuah Tribunal khas bagi menyiasat sama ada wujud salah laku oleh enam pesuruhjaya SPR dalam mengendalikan PRU-14.

Jika didapati bersalah, mereka berenam boleh dilucutkan jawatan dan atas nasihat Peguam Negara, Tribunal ini ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia.

“Malangnya, Peguam Negara kemudiannya terlepas pandang atau gagal memberikan nasihat perundangan yang terkini dan tepat kepada PM dan YDPA selepas keenam-enam pesuruhjaya yang dinamakan meletak jawatan.

“Beliau tidak segera mengambil pertanggungjawaban untuk memaklumkan perubahan konteks dan fakta bahawa mereka yang hendak disiasat tersebut telah pun meletak jawatan sekali gus menyebabkan tribunal tersebut sudah tidak diperlukan,” bidasnya.

Tambah Mohamad lagi, lebih penting lagi kegagalan Peguam Negara menasihati PM dan seterusnya YDPA pastinya mencemarkan nama baik institusi Peguam Negara, Istana Negara dan Kerajaan secara keseluruhannya.

“Kerajaan bukan sahaja dilihat mengambil tindakan yang sia-sia tetapi sangat tidak peka dengan fakta semasa apabila tetap meneruskan prosiding Tribunal tersebut sekalipun selepas enam pesuruhjaya SPR yang terlibat telah meletak jawatan,” ujarnya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.