Sudah Tewas PRK, ‘Move On’ Sajalah…Tak Perlu Ada-adakan Cerita


KUALA LUMPUR, 28 Jan – Pihak tertentu di negara ini tidak perlu mengada-adakan cerita kononnya UMNO dan PAS menganjur perang saraf dengan memainkan sentimen perkauman dan keagamaan untuk meraih sokongan rakyat, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Suraya Yaacob.

Katanya, pihak berkenaan bukan hanya mengambarkan daya intelektual yang rendah, malah mereka seolah merelakan diri untuk menjadi alat propaganda parti politik dengan berselindung di sebalik badan penyelidikan dan bersikap prejudis tidak tentu arah terhadap UMNO dan PAS.

“Lebih mengecewakan, tuduhan seperti itu seolah-olah menghina daya pemikiran rakyat yang semakin sedar hakikat telah ditipu rejim Pakatan Harapan (PH) yang ternyata indah khabar berbanding rupa, konon cuba menghadiahkan ‘better Malaysia’ namun sebaliknya hanya ‘bitter Malaysia’,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman Facebooknya hari ini.

Tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, usah sesekali merendahkan kemampuan rakyat menilai.

“UMNO mahupun PAS tidak perlu bermain perang saraf, denyut nadi rakyat khususnya bangsa Melayu beragama Islam dan masyarakat bumiputera sendiri kini dapat mengenal pasti kebobrokan PH serta pentadbirannya yang kucar-kacir di sana-sini.

“Jika ditakdirkan sudah tewas di PRK Cameron Highlands, jangan cuba untuk menafikan kelemahan diri menafikan ambang kebangkitan rakyat melalui jalan mudah dengan menyalahkan UMNO dan PAS.”

Bidasnya, cermin dan suluhlah diri sendiri, jangan perguna pihak lain sebagai alat propaganda ala mainan politik purba.

“Cepatlah belajar ‘move on’ sebagai kerajaan kerana kami sedia mengajar kalian untuk menjadi pembangkang sihat dan berkaliber sebelum kita kembali bertukar tempat,” katanya lagi yang juga Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah merangkap Ketua UMNO Bahagian Pendang.

Pada PRK Cameron Highlands Sabtu lalu, BN mempertahankan kerusinya dengan memperoleh 12,038 undi menewaskan calon kitar semula Dap yang mewakili PH dan dua lagi calon Bebas.

Majoriti yang diperoleh calon BN, Ramli Mohd Nor meningkat kepada 3,238 undi berbanding 597 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.