Kerajaan PH Kurangkan Kadar Makanan SBP, Ibarat Langkah Ke Belakang


KUALA LUMPUR 28 Jan. – Langkah kerajaan Pakatan Harapan mengurangkan kadar makanan sehari di sekolah berasrama penuh (SBP) diibaratkan sebagai suatu langkah ke belakang.

Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pengurangan peruntukan kepada RM14.50 daripada kadar asal RM18.00 seorang pelajar sehari dilihat agak besar dan signifikan.

Justeru, kata beliau, Kementerian Pendidikan perlu memberi penjelasan segera berhubung perkara tersebut.

“Kita positif dan boleh bersetuju dengan usaha Kementerian Pendidikan membuka ruang lebih besar kepada pelajar kumpulan berpendapatan rendah (B40) tetapi apa yang berlaku ini menunjukkan ikhtiar kerajaan yang tidak konsisten.

“Ramai ibu bapa khuatir dengan tindakan ini. Mereka cukup khuatir jika langkah ini memberikan kesan langsung kepada kualiti pendidikan di SBP dan sekolah berasrama lain. Pengurangan peruntukan mencecah RM100 juta itu dirasakan keterlaluan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.