Kemenangan BN Di Cameron Highlands Isyarat Rakyat Tolak Politik PH Yang Penuh Janji


KUALA LUMPUR, 28 Jan – Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands jelas menunjukkan kebangkitan rakyat menolak kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat gagal menjaga kebajikan masyarakat dan mentadbir negara dengan baik serta ditambah pula dengan pelbagai krisis baru yang timbul dikalangan mereka sehingga memberikan kesan kepada penduduk sama ada di bandar dan luar bandar.

Menurut beliau rakyat dilihat menggunakan kuasa yang mereka ada untuk memberikan satu signal dan isyarat kepada Kerajaan PH bahawa mereka bersedia untuk terus menolak mana-mana kerajaan sekali pun jika tanggungjawab sebagai pemerintah tidak ditunaikan.

“Keputusan ini merupakan referendum rakyat menolak kerajaan PH. Rakyat sudah jelak dengan Kerajaan PH yang tidak habis-habis dengan fitnah dan menyalahkan Kerajaan BN namun gagal menyelesaikan masalah rakyat seperti kos sara hidup yang semakin meningkat sedangkan kos komoditi terus menurun dan ditambah dengan ekonomi yang semakin merudum.

“Walaupun mereka berjanji pelbagai janji baru khusus untuk pengundi di Cameron Highlands namun rakyat sudah tidak mempercayai janji tersebut kerana kegagalan mereka menunaikan janji Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu terlalu ketara dan menganggap janji mereka itu perkara yang boleh untuk tidak ditunaikan.

“Sedangkan pengundi memberikan kepercayaan kepada mereka atas sebab janji dan manifesto mereka. Bagi rakyat, Kerajaan PH merupakan kerajaan yang langsung tidak ada tanggungjawab terhadap janji mereka… pada rakyat kerajaan sebegini harus ditolak,” katanya menerusi catatan di facebook.

Ismail Sabri seterusnya menambah kemenangan BN mendahului undi awal dan undi pos jelas menunjukkan kakitangan kerajaan juga sudah tidak meyakini kerajaan hari ini dan menyuarakan penolakan mereka secara total terhadap majikan mereka sendiri.

Pada masa yang sama beliau turut menekankan soal kerjasama UMNO dan Pas yang membawa signifikan dan makna yang cukup besar pada PRK tersebut.

“Apa yang ingin saya tegaskan dan paling penting ialah kesan dan keputusan PRK Cameron Highlands kali ini berkait rapat soal kerjasama UMNO dan PAS yang membawa makna besar kepada BN.

“Tahniah saya ucapkan kepada seluruh pengundi Parlimen Cameron Highlands. Saya dengan rasa rendah diri mengucapkan jutaan syabas dan terima kasih kepada seluruh jentera parti pelbagai peringkat. Terima Kasih kepada seluruh jentera MCA, MIC, NGO dan orang perseorangan yang sanggup turun membantu BN sepanjang tempoh kempen tanpa mengharapkan imbuhan,” tambahnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.