Kemenangan Di Cameron Highlands : Perjalanan Masih Panjang Dan Berliku

KUALA LUMPUR,27 JAN – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata perjalanan parti masih panjang dan pastinya makin berliku namun kemenangan yang dicapai pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands membuktikan parti mampu bangkit kembali meraih sokongan rakyat dengan pertolongan Allah swt.

Menerusi catatan di facebooknya, beliau mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera parti termasuk daripada Pas yang sama- sama membantu kemenangan berkenaan.

“Terima kasih pada semua jentera Pemuda UMNO dari seluruh negara yang telah bertungkus lumus untuk memastikan Cameron Highland kita kekalkan biru BN. Terima kasih juga kepada jentera Pusat, Negeri, Bahagian, sayap-sayap Wanita dan Puteri. Kemenangan ini hasil kerja sepasukan yang mantap, tanpa kesepaduan ini, kejayaan kita tidak mungkin mampu diperolehi.

“Terima kasih jua pada sahabat-sahabat PAS yang bersama-sama di dalam PRK kali ini. Jangan alpa dan leka, terus perkuatkan hubungan dengan Allah kerana hanya padaNya kita panjatkan kesyukuran yang tidak terhingga, dan hanya padaNya jua kita bergantung harap,” katanya.

Tambahnya lagi pengalaman pada kempen PRK berkenaan cukup manis dan 26 Januari 2019 akan terpahat sebagai tarikh yang amat bersejarah dan pastinya akan dikenang.

“Setelah pelbagai cabaran yang kita terpaksa harungi, bermula dengan PRU14 dan beberapa siri PRK yang lain, semalam kita berjaya buktikan.

“Saya bangga kerana pasti akan ada Pemuda UMNO di sana istiqomah, bersemangat mengerah tenaga dan terus setia berkampung meninggalkan keluarga tersayang demi sebuah perjuangan.

“Justeru sahabat-sahabat Pemuda UMNO, semalam kita buktikan bahawa pengorbanan ikhlas untuk sebuah perjuangan mampu membeli jiwa rakyat. Kita buktikan biar apa pun kekuatan Kerajaan PH untuk menekan kita, kita masih mampu hadapinya dengan cekal untuk kembali bangkit.

“Kita tunjukkan kepada dunia, bahawa Pemuda bangkit dengan penuh kerendahan diri namun jiwa besar untuk kembali membela parti dan rakyat. Kemenangan ini adalah kemenangan yang teramat manis buat kita semua,” tambahnya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.