Kemenangan BN Di Cameron Highlands Permulaan Penolakan Rakyat – Khaled

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) di Cameron Highlands adalah permulaan penolakan yang jelas terhadap Pakatan Harapan selain menunjukkan rakyat Malaysia kini mula menunjukkan rasa dan pendirian tegas mereka terhadap prestasi Pakatan Harapan yang teruk.

Menurut beliau di sebalik kehadiran pemimpin besar Pakatan Harapan termasuk Perdana Menteri, masyarakat Cameron Highlands telah menghantar mesej yang sangat jelas kepada parti Kerajaan iaitu mereka tidak akan sesekali membiarkan diri diperdayakan dengan janji yang akhirnya dimungkiri sesuka hati.

“Kedua, kemenangan di Cameron Highlands menunjukkan bahawa orang Melayu dan Bumiputera sangat sangsi dengan Pakatan Harapan. Mereka yakin bahawa hanya UMNO dan Pas adalah sandaran terbaik dalam memperjuang kelangsungan serta kepentingan Melayu dan Bumiputera di negara tanpa menafikan kaum-kaum lain.

“Orang Melayu dan Bumiputera tidak akan terpedaya dan memilih parti seperti DAP yang sangat jelas menolak konsep kedudukan khas Melayu dan Bumiputera melalui ideologi Malaysian Malaysia mereka.

“Apatah lagi DAP dilihat hanya memfokuskan kepada kepentingan masyarakat Cina semata-mata. Semua kerusi yang dimenangi oleh DAP di seluruh Malaysia adalah dari komuniti yang majoriti penduduknya adalah berbangsa Cina. Ini adalah bukti paling jelas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau seterusnya menambah kemenangan ini juga adalah petunjuk jelas bahawa isu dan kepentingan orang Asli bukan perkara yang boleh diambil mudah dan oang Asli bukan golongan yang boleh diperkotak-katikkan dengan imbuhan dan ganjaran bermusim.

Apatah lagi jelas beliau mereka dihina secara terbuka sebagai komuniti separa warga negara dan penghinaan seperti itu bukan sahaja keterlaluan, tidak sensitif dan menggambarkan kejahilan tentang perkara asas negara kita malah, menunjukkan keterdesakan dan kekontangan modal politik yang kritikal dalam DAP.

“Sudah tentu Orang Asli tahu membezakan mutiara palsu dan manikam asli. Mereka dapat menilai sendiri khidmat 60 tahun lepas bukan sesuatu yang boleh digantikan dengan pentadbiran 9 bulan yang penuh dengan kemungkiran dan percanggahan,” tambahnya.

Tambahnya lagi BN telah membuat satu pendekatan tepat dengan mengangkat pencalonan Ramli Mohd Nor dan Keputusan ini bukan sahaja tindakan yang progresif tetapi memenuhi aspirasi BN yang mahukan keterangkuman menjadi amalan yang lebih nyata dan terlihat.

“Calon seumpama dilihat sebagai tokoh yang sederhana, teruji dalam khidmatnya pada negara dan disegani kerana pencapaian pendidikan dan kerjayanya.

” Seterusnya Cameron Highland adalah langkah pertama BN untuk kembali berkuasa. Ia bukti bahawa UMNO dan BN tidak mati, punah dan hancur seperti dakwaan Tun Mahathir.

“PRK Cameron Highland membuktikan bahawa rakyat tidak nafikan jasa, prestasi dan rekod khidmat UMNO dan BN pada rakyat selama 60 tahun lepas. Momentum ini akan terus kita gandakan.

“Kemenangan ini juga adalah petanda bahawa BN telah mula berjaya mengurus kekalahannya sebelum ini. BN kini mendapat rentak. BN tidak lagi canggung atau terbelenggu dengan kesukaran menjadi pembangkang. Malah, BN sudah mula menunjukkan wibawanya dalam menjadi aktor semak dan imbang yang berkesan,” ujarnya.

Pastinya ujar beliau lagi dengan rejim kakistokrat yang kabinetnya terdiri daripada mereka yang langsung tiada pengalaman dan wibawa dalam tadbir urus yang cekap dan maju, tugas dan tanggungjawab BN sebagai pembangkang menjadi lebih menarik dan mudah.

Tetapi yang lebih manis dan bermakna tegas Khaled ialah sokongan padu PAS kepada BN. PAS telah menjadi rakan strategik UMNO yang penting. Dan perkara ini sudah pasti tidak disenangi oleh parti Kerajaan yang tidak mahukan orang Melayu dan parti-parti pembangkang bersatu serta bekerjasama.

“Kesepakatan UMNO dan PAS, jika terus disubur dan digembelengkan dengan rapi, akan mewujudkan gelombang kebangkitan Melayu Islam yang besar, penting dan mampu melenyapkan PH. Lebih-lebih lagi apabila orang Melayu dan Bumiputera sedar bahawa, dalam PH suara orang Melayu dan Bumiputera adalah suara kecil, minoriti dan sering tidak dipedulikan.

“Seperti DAP yang menggunakan gelombang penentangan masyarakat Cina untuk merubah landskap politik Malaysia, kerjasama UMNO dan PAS, dalam PRU-15 nanti akan menghasilkan gerak gempa dan tsunami Melayu yang berkali-kali ganda lebih hebat dari ‘the Chinese tsunami’ dalam PRU14 yang lalu.

“Akhirnya, kemenangan BN adalah kerana kerja keras semua pihak. Menteri Besar Pahang sangat gigih di lapangan. Kepimpinan tertinggi UMNO tidak letih dalam memberikan sokongan padu sepanjang PRK kali ini. Tidak ketinggalan, Dato Sri Najib juga banyak menyumbang.

“Dan parti-parti komponen BN pula sangat membantu. Khususnya MIC yang bukan sahaja memberi laluan, tetapi mempamerkan persefahaman yang padu. Mereka tidak memberontak, tidak sabotaj. Tetapi terus setia dan bersama-sama dengan BN. Saya sangat berterima kasih kepada MIC.

“Kepada Pakatan Harapan, Cameron Highlands adalah petanda awal bahawa kalian akan kami perangi habis-habisan. BN akan terus berjuang dan tidak sesekali mengalah,” ujarnya.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.