Cameron Highlands Dan Kemenangan Yang Manis, Terima Kasih Semua

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Keputusan Pilihan Raya Kecik (PRK) di Cameron Highlands bukan sahaja sangat penting, tetapi juga kemenangan yang manis dan penuh pengajaran, kata Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya, manis kerana kita meraih kemenangan dikala kita tidak punya segalanya kecuali perpaduan dan kesatuan dalam mencapai matlamat yang lebih besar.

“Penuh pengajaran kerana ia menampilkan dengan nyatanya perasaan komuniti-komuniti kecil di Cameron Highlands, terutamanya Orang Asli, mengenai wakil yang mereka kehendaki di Putrajaya.

“Ini suatu amanat besar bagi BN dan PAS, dan kami akan bekerjasama untuk memenuhi amanat yang dipertanggungjawabkan ke atas kami.

“Tanpa sebuah ikatan atau kerjasama formal, keduanya saling mendukung demi kebaikan negara ini. Kami juga berikrar menggabungkan usaha demi perpaduan kaum Melayu dan umat Islam di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akhirnya katanya, yang menang, ialah rakyat dan kepentingan mereka.

“Cameron Highlands juga mengajar kita satu perkara yang sangat penting. Orang biasa-biasa, terutamanya orang Melayu dan Orang Asli di pendalaman Malaysia, enggan membenarkan undian mereka dimenangi melalui ugutan dan penghinaan.

“Mereka setia dengan perjuangan kita dan mereka ingat kebaikan yang pernah kita curahkan, walau sekelumit jua, sewaktu kita memerintah dahulu.

“Benarlah kata pepatah, budi baik di bawa mati dan dikenang jua.”

Ujarnya, kepada seluruh pengundi Cameron Highlands, terima kasih kerana tidak meninggalkan kami dan terus meyakini BN.

“Kami akan selamanya terhutang budi atas ihlasnya kalian dalam mendukung perjuangan kami demi Malaysia yang lebih baik.

“Kepada Pakatan Harapan (PH) ini adalah permulaan kepada kebangkitan semula BN.

“Kami tidak akan berhenti sehingga Putrajaya itu kami miliki semula, insha Allah.”

Semalam, BN mempertahankan kerusinya pada PRK Parlimen Cameron Highlands dengan memperoleh 12,038 undi menewaskan calon kitar semula Dap yang mewakili PH dan dua lagi calon Bebas. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.