Blok Politik Baharu UMNO-Pas Mampu Saingi PH

KUALA LUMPUR 27 Jan. – Kemenangan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands semalam membuktikan kerjasama UMNO-Pas boleh membentuk satu blok politik baharu yang kuat untuk menyaingi Pakatan Harapan mendepani cabaran Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, walaupun kedua-dua parti itu mempunyai pertentangan dalam beberapa aspek namun telah menampakkan beberapa persamaan pada asas perjuangannya.

Ahli Parlimen Pasir Salak menyifatkan hanya UMNO dan Pas yang boleh dikatakan sebagai parti politik Melayu, sekali gus perlu menubuhkan satu blok baharu yang kuat.

“Sudah tiba masanya UMNO dan Pas bergabung bagi membentuk kuasa Melayu lebih kukuh selepas Pilihan PRU-14.

“Kedua-dua parti ini meletakkan perjuangan Islam dan Melayu dengan jelas dalam perlembagaan parti.

“Oleh itu kita yakin gabungan ini mampu memberi cabaran kepada kerajaan dan penyokongnya yang sejak akhir-akhir ini mula berani menyuarakan desakan yang menghina kaum dan agama.

“Saya nampak jika gabungan ini berjaya maka kepentingan umat Islam akan terus terbela. Jika tidak bersama, maka sukar nak hadapi tentangan lawan,” kata beliau kepada Utusan Malaysia pagi ini, selepas calon BN, Ramli Mohd. Nor menyekat cabaran DAP dari PH di Cameron Highlands.

Tajuddin berkata, realitinya UMNO dan Pas mendapat sokongan besar daripada pengundi Melayu dalam sejarah politik tanah air.

“UMNO kena ubah strategi dengan mencari rakan seperjuangan, malah perlu lebih cekap dalam menggunakan kaedah baharu selepas apa yang berlaku pada PRU-14.

“Jika terus nak tunjuk kehebatan masing-masing, kita tak akan berupaya lawan PH, tetapi jika melihat kemenangan kerusi Pas dan UMNO itu sendiri di negeri mahupun Pusat, dua parti ini sebenarnya boleh menjadi gabungan kuat,” katanya.

Tajuddin berkata, kerjasama yang berlaku di antara dua parti politik orang Melayu itu kelak akan mampu membina kekuatan sebenar politik Melayu dan juga kestabilan politik negara secara menyeluruh.- UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.