Syukur Atas Kemenangan, Agenda Penyatuan Ummah Membuahkan Hasil – Mohamad Hasan

TANAH RATA, 26 Jan – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan bersyukur kerana BN dapat mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan majoriti yang lebih besar.

Menurutnya, ternyata strategi yang dirancangkan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands ini membuahkan hasil.

“Syukur Alhamdulillah saya berasa amat gembira dan mengucapkan syukur ke hadrat Allah taala kerana keputusan PRK P.078 Cameron Highlands ini telahpun kita ketahui diumumkan pegawai pengurus pilihan raya sebentar tadi iaitu calon BN Tuan Ramli Datuk Mohd Nor telah diberikan kepercayaan oleh pengundi-pengundi di Cameron Highlands.

“Syukur Alhamdulillah BN dapat mempertahankan kerusi Cameron Highlands ini dan yang lebih menggembirakan kita ialah majoriti kemenangan tersebut bertambah daripada lima ratus lebih pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kepada 3,238 undi.

“Ini suatu margin atau angka yang besar dalam PRK ini, saya amat bersyukur dan ucapkan terima kasih kepada pengundi di Cameron Highlands kerana memberi kepercayaan kepada calon BN untuk kita memberikan khidmat di kawasan ini,” ujarnya dalam sidang media sebaik selesai pengumuman rasmi keputusan PRK Cameron Highlands, di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, di sini, malam ini.

BN mempertahankan kerusinya pada PRK Parlimen Cameron Highlands dengan memperoleh 12,038 undi menewaskan calon kitar semula Dap yang mewakili PH dan dua lagi calon Bebas.

Majoriti yang diperoleh calon BN, Ramli Mohd Nor meningkat kepada 3,238 undi berbanding 597 undi pada PRU-14 lalu.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, juga selaku Pengerusi BN Pahang dan Pengarah Jentera PRK, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, Ahli Parlimen Cameron Highlands yang baru dinobatkan, Ramli Mohd Nor serta beberapa pemimpin parti-parti komponen dan pimpinan PAS.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak khususnya kepada pengundi, jentera dan rakan-rakan dalam BN.

“Khusus yang perlu saya sebut di sini ialah agenda penyatuan ummah yang kita lakukan ini telah dapat menunjukkan membuahkan hasil.

“Kerjasama dan bantuan daripada PAS terutamanya amat jelas sekali dalam pilihan raya kecil ini dan seperti yang kita jangkakan bahawa pengundi-pengundi yang memberikan undi kepada parti PAS pada pilihan raya umum ke-14 tempoh hari telahpun memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional.

“Ini jelas dibuktikan dengan peti-peti undi yang dulunya dimenangi pihak PAS, tetapi di atas kerjasama dua parti iaitu khususnya UMNO dan PAS telah membuahkan hasil,” jelasnya lagi.

Tambah Mohamad, strategi ini amat baik dan akan diteruskan kerjasama untuk memastikan agenda penyatuan ummah di negara ini akan dapat terus diperkasakan.

“Saya ucap tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang yang juga Pengarah PRK Cameron Highlands ini kerana dapat menyusun jentera parti yang begitu licin dan begitu baik sekali.

“Dan kita lihat kali ini strategi kita untuk berkempen amat lain sekali iaitu kita meletakkan jentera kita duduk bersama dengan pengundi-pengundi, ada yang duduk selama sepuluh hari di tempat kawasan yang dia jaga.

“Ini membuahkan satu hasil yang amat baik dan ini akan kita teruskan di pilihan raya kecil di Semenyih dan di tempat-tempat lain,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama ujarnya, BN amat berterima kasih kepada undi pos dan undi awal kerana jelas mereka juga memihak kepada BN.

Justeru jelasnya lagi, BN akan meneruskan untuk memberikan khidmat kepada masyarakat setempat.

“Saya yakin dan percaya orang Cameron Highlands ini akan mendapat khidmat yang baik terutamanya Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy sendiri merupakan pengerusi Barisan Nasional Cameron Highlands.

“Banyak isu-isu yang kita pungut, yang kita kutip semasa kita berkempen akan dapat kita berikan perhatian dan diselesaikan dengan segera,” katanya.

Selain itu tambahnya lagi, PRK ini juga merupakan satu referendum dan terjemahan perasaan tidak puas hati rakyat kepada prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak mempedulikan rakyat.

Dalam sidang media yang sama, Ramli Mohd Nor turut mengatakan penuh kesyukuran atas kemenangan dan mengucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi Cameron Highlands.

“Terima kasih kepada jentera BN, PAS, MIC, MCA yang telah banyak membantu.

“InsyaAllah saya akan berusaha untuk berkhidmat kepada masyarakat di Cameron Highlands ini,” katanya. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.