PRK Cameron Highlands: Suasana Hari Mengundi Berjalan Lancar

Cameron Highlands, 26 Jan – Proses pengundian di Pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands berlangsung lancar hari ini dengan para pengundi mula beratur sebaik pusat-pusat pengundian dibuka.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selesai menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada kira-kira pukul 8.50 pagi di SK Tanjung Gahai.

Sehingga jam 10 pagi, di SK (LKTP) Sungai Koyan dan SMK Sungai Koyan, pengundi tidak putus-putus pengundi hadir menunaikan tanggungjawab dan keadaan di sini tenang dan berjalan lancar.

Pada PRK bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands hari ini ada anjakan waktu tutup bagi pusat pengundian terutama di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata berbanding DUN Jelai yang masih kekal seperti Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Perayu-perayu undi parti yang bertanding termasuk jentera BN melaksanakan tugas mereka dalam suasana yang penuh harmoni.

Uniknya kali ini, jentera PAS turut turun sama bergabung di dalam proses rayu undi bagi calon BN di beberapa kawasan pusat pengundian.

Berteraskan kempen ‘Tiada Janji Tapi Lihat Bukti’, BN meletakkan calonnya, Ramli Mohd Nor, 61, anak tempatan dari suku Semai dan merupakan bekas Penolong Penguasa Polis.

SPR menetapkan hari ini sebagai hari pengundian bagi PRK Cameron Highlands manakala hari mengundi awal telah berlangsung pada 22 Januari yang lalu.

SPR juga memaklumkan, berdasarkan daftar pemilih pada Suku Ketiga Tahun 2018 yang dikemaskini sehingga 14 Disember 2018, jumlah pemilih yang layak untuk mengundi biasa adalah 31,749 orang.

PRK Cameron Highlands diadakan berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 November tahun lalu membatalkan kemenangan C.Sivarraajh, wakil BN bagi kerusi tersebut mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.