Kemenangan PRK Cameron Highlands Isyarat BN Tetap Jadi Pilihan Rakyat

KUALA LUMPUR, 26 Jan – Keputusan dengan majoriti yang bertambah kepada calon BN adalah petanda atau isyarat bahawa Barisan Nasional (BN) tetap menjadi pilihan rakyat, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

“Kemenangan yang besar ertinya dan pasti saya ingin ucapkan tahniah.

“Rakaman ucapan ribuan terima kasih kepada seluruh pimpinan, jentera kempen UMNO dan BN, serta PAS PRK078 CH di atas kerja keras membantu kemenangan calon BN Ramli Mohd Nor dalam PRK078 Cameron Highlands, Pahang.

“Paling istimewa pasti kepada semua pengundi dan penyokong calon BN,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, keadaan juga memperlihatkan bahawa kerjasama UMNO dan PAS benar berkesan pada kali ini dan memperlihat suatu yang amat baik kepada masa depan politik BN dan PAS.

“Dalam keadaan apapun semua pimpinan dan ahli UMNO serta BN jangan berasa selesa atau leka. Kita mesti terus berusaha meletakkan BN dan UMNO dihati rakyat.

“Kemenangan ini mesti menjadikan kita bekerja dengan lebih kuat untuk kemenangan yang lebih besar selepas ini. UMNO mesti bekerja dengan lebih kuat.

“Tahniah kerana BN mencipta sejarah melahirkan Ahli Parlimen pertama dari kalangan masyarakat Orang Asli,” katanya.

BN mempertahankan kerusinya pada PRK Parlimen Cameron Highlands dengan memperoleh 12,038 undi menewaskan calon kitar semula Dap yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dan dua lagi calon Bebas.

Majoriti yang diperoleh calon BN, Ramli Mohd Nor meningkat kepada 3,238 undi berbanding 597 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.