Jentera BN Diminta Terus Pastikan Pengundi Laksana Tanggungjawab

TANAH RATA, 26 Jan – Jentera Barisan Nasional (BN) diminta untuk terus giat melaksanakan peranan khususnya dalam memastikan pengundi-pengundi melaksanakan tanggungjawabnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands hari ini.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah turut hadir melakukan tinjauan kepada petugas BN di Sek Keb Terisu yang menjadi pusat mengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya melaporkan sebanyak 15 peratus daripada 31,639 pengundi telah keluar mengundi setakat pukul 9 pagi bagi PRK Cameron Highlands .

Semua 29 pusat mengundi dibuka pukul 8.00 pagi dengan masing-masing 17 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata, serta 12 lagi di DUN Jelai bagi membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) , 29 pusat mengundi itu yang semuanya melibatkan bangunan sekolah akan ditutup secara berperingkat dengan sebuah ditutup pada 1 tengah hari; lima (2 petang); sembilan (3 petang); satu (3.30 petang); tujuh (4 petang) dan enam pada 5.30 petang.

SPR menyasarkan 70 peratus pengundi keluar mengundi hari ini dan menjangkakan keputusan akan diketahui selewat-lewatnya 10 malam.

PRK itu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Nov lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 Mei tahun lepas, terbatal dan tidak sah.

PRK ini adalah yang kelima setelah PRU14 dengan tiga pilihan raya sebelum ini melibatkan DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor serta PRK Parlimen Port Dickson. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.