BN Bangkit, Pertahan Kemenangan Parlimen Cameron Highlands, Majoriti Meningkat

TANAH RATA, 26 Jan – Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands dengan memperoleh 12,038 undi menewaskan calon kitar semula Dap yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dan dua lagi calon Bebas.

Majoriti yang diperoleh calon BN, Ramli Mohd Nor meningkat kepada 3,238 undi berbanding 597 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Keputusan PRK P.078 itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Ishak Md. Napis pada pukul 8.35 malam di Dewan Gemilang, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, di sini.

Calon BN, Ramli Mohd Nor memperoleh 12,038 undi dan PH yang diwakili calon dari parti Dap dengan 8,800 undi.

Manakala calon bebas Sallehudin Ab Talib 314 undi dan Wong Seng Yee 276 undi.

Sebanyak 68.79 peratus pengundi di Cameron Highlands hari ini keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Kemenangan itu juga menunjukkan tanda kebangkitan BN setelah tewas dalam beberapa siri PRK merampas kerusi milik PH.

Ketika pengumuman dibuat, Ramli turut berada di dalam dewan sambil diiringi Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga selaku Pengarah PRK serta pemimpin BN yang lain.

Pengumuman kemenangan beliau turut dirai dengan sorakan penyokong BN yang berada di dalam dan luar dewan dengan laungan ‘Hidup BN’.

Justeru, BN turut mengucapkan setinggi penghargaan atas komitmen jentera yang bertungkus lumus tanpa jemu berkempen walaupun dalam menghadapi pelbagai rintangan dan kekangan demi mempertahankan kemenangan kerusi Parlimen Cameron Highlands ini.

Begitu juga ucapan ribuan terima kasih kepada kepimpinan dan jentera PAS yang begitu komited dalam berkempen baik dari peringkat pusat mahupun di akar umbi.

Manakala sekalung tahniah diberikan pengundi yang tetap memilih BN.– Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.