Politikkan Isu Hutang Negeri, Guang Eng Dibidas

TANAH RATA, 25 Jan – Mantan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob membidas Menteri Kewangan Lim Guan Eng ekoran memainkan isu hutang negeri Pahang di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Jelas beliau, dakwaan kononnya Pahang mempunyai hutang terbesar antara semua negeri kepada kerajaan pusat adalah tidak benar sama sekali.

“Macam mana tidak berhutang banyak… paip untuk bekalan air bersih di Pahang ini 12 ribu kilometer… kalau kita pasang paip, pergi balik ke London masih tidak cukup lagi.

“Perlu tahu bahawa Sukan Malaysia (SUKMA) ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan tapi Pahang hutang RM400 juta. Banjir pun urusan kerajaan persekutuan tapi kerajaan Pahang hutang RM40 juta. Tapi ini tidak boleh salahkan sesiapa… (RM400 juta hutang kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan adalah untuk menaiktaraf fasiliti untuk penganjuran SUKMA dan RM40 juta untuk pinjaman pengurusan bencana alam dan kebajikan mangsa yang terlibat dalam bencana alam tersebut).

“Lim Guan Eng hanya mempolitikkan isu ini… hutang kerajaan negeri bukannya sampai RM3 bilion… tolaklah hutang SUKMA… hutang bantuan banjir… ini hanya atas kertas yang telah di ‘ejas’ oleh orang tertentu. Sebenarnya hutang Pahang tidak sampai banyak itu. Saya harap perkara ini jelas,” ujar beliau kepada media selepas sesi beramah mesra bersama bekas tentera di Kampung Sungai Ruil di sini.

Tambahnya, beliau yakin hutang kerajaan negeri kepada kerajaan pusat sebenarnya tidak lebih daripada RM700 juta. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.