Tolak Budaya Ugut Mengugut, Tiada Siapa Boleh Halang Hak Rakyat Untuk Mengundi

TANAH RATA, 24 Jan – Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tidak ada sesiapa pun yang boleh menghalang hak asasi warganegara ini bagi menunaikan tanggungjawab mengundi.

Jelas beliau, setiap rakyat Malaysia mempunyai kebebasan untuk memilih sesiapa sahaja yang mereka rasa layak untuk mewakili suara rakyat.

“Itu tidak sepatutnya berlaku (dakwaan ada pihak mempergunakan JAKOA bagi mengahalang Orang Asli mengundi BN). Ini hak asasi, ia dijamin Perlembagaan bahawa setiap pengundi rakyat Malaysia mempunyai kebebasan untuk memilih sesiapa saja.

“Kita kerajaan BN dulu telah pun kalah dalam PRU-14 dan kita redha, kita tak pernah mengungut, kita tak pernah buat begitu dulu dan tak pernah kata jangan keluar mengundi kepada mana-mana individu. Kita memberikan kebebasan sepenuhnya semasa kerajaan BN berkuasa dan kita harap supaya amalan demokrasi yang sihat ini dapat diteruskan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Mengapa perlu takut sangat… satu kerusi saja tidak akan mengubah apa-apa dalam kerajaan Persekutuan,” ujar beliau kepada media selepas melawat bilik gerakan MCA Brinchang, di sini.

Tambah Mohamad, beliau amat berharap agar pihak kerajaan pusat tidak menggunakan jentera dan agensi kerajaan bagi menghalang rakyat keluar daripada menjalankan hak mereka mengundi.

Selain itu, beliau turut membidas kenyataan Lim Kit Siang yang mengatakan calon BN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands Ramli Mohd Nor adalah lambang kegagalan Orang Asli.

“Saya tak tahu dari segi sudut mana dia nyatakan lambang kegagalan Orang Asli kerana kalau kita lihat Ramli berjawatan tinggi dalam PDRM, dan mempunyai kelayakan sangat tinggi. Tidak banyak negara yang memberikan peluang begitu baik kepada etnik-etnik minoriti terutamanya negara-negara yang juara dalam demokrasi.

“Sekarang ini kita menonjolkan Ramli sebagai calon untuk pertama kalinya dalam sejarah Malaysia, 14 kali kita mengadakan pilihan raya dan ini pertama kali wakil untuk orang asli akan ada di Parlimen di negara kita. Jadi saya yakin itu satu peluang yang amat baik kepada masyarakat Orang Asli dan masyarakat Cameron Highlands untuk menghantar mesej mereka ke Parlimen,” ujar beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.