PRK Cameron Highlands Penanda Aras Terbaik Rakyat Malaysia ‘Ajar’ Parti Yang Tidak Memegang Janji

TANAH RATA, 24 Jan – Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Datuk Zaidi Mohd Said berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands ini boleh menjadi satu penanda aras kepada seluruh rakyat Malaysia bagimana untuk mengajar parti yang tidak memegang kepada janji dalam pilihan raya.

Jelas beliau, PRK ini juga adalah medan terbaik kepada para pengundi menebus kesilapan mereka semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Melihat kepada suasana dalam media sosial hari ini, kebanyakan pengundi-pengundi terutama anak muda mula sedar bahawa mengundi Pakatan Harapan (PH) merupakan satu kesilapan paling besar yang membawa kepada malapetaka kepada mereka.

“Maka ini adalah peluang terbaik kepada pengundi muda untuk membuktikan dan menebus kesilapan mereka dengan mengundi calon BN dan mempastikan calon BN menang dengan majoriti yang jauh lebih besar dari dulu,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Justeru tambah Zaidi, beliau berharap agar seluruh warga Cameron Highlands akan keluar mengundi dalam semangat baru untuk memberi pengajaran kepada kerajaan agar mereka menunaikan segala janji yang mereka buat selama ini selain memberi pengajaran jangan sewenang-wenangnya berjanji tanpa berniat untuk menunaikan janji tersebut. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.