Bekalan Air Bersih: Kesejahteraan Rakyat Bukan Tanggungjawab Kerajaan Negeri Semata-mata


JELAI, 24 Jan – Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman dengan tegas mengatakan bahawa perkara-perkara yang melibatkan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat bukan semata-mata terletak di bawah tanggungan kerajaan negeri.

Jelasnya, ini termasuklah isu bekalan air bersih di mana masih ramai di kalangan rakyat menganggap bidang kuasa tersebut secara total terletak di bawah kerajaan negeri.

“Tetapinya kita lupa bahawa pada tahun 2005, satu sidang khas Parlimen telah diadakan meminda jadual perkhidmatan persekutuan dan negeri ini yang mana perkhidmatan pengurusan bekalan air telah dijadikan sebagai jadual bersama.

“Di mana pihak berkuasa negeri masih lagi mengekalkan bidang kuasanya bagi kawasan tadahan sumber air manakala bekalan dan perkhidmatan dipindahkan kuatkuasanya kepada kerajaan persekutuan.

“Seiring dengan itu pada tahun 2006 satu akta telah diluluskan oleh Dewan Rakyat, dua akta sebenarnya, Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara yang mengawal selia perkhidmatan-perkhidmatan bekalan air di negara kita dan Akta Industri Perkhidmatan Air,” jelasnya kepada UMNO-Online merungkai isu hutang bekalan air yang dimanipulasi oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Justeru tambah Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi negeri itu, secara jelasnya perkara yang melibatkan kepentingan rakyat adalah tanggungjawab secara bersama.

“Dan saya percaya soal hutang juga harus dilihat secara bersama kerana apa yang negeri laksanakan selama ini adalah untuk menunaikan tanggungjawab bersama,” ujarnya yang menyatakan sebahagian besar hutang besar berkaitan projek-projek pembangunan bekalan air terutamanya di luar bandar.

Jelasnya lagi, projek pembangunan bekalan air luar bandar adalah untuk kepentingan dan kebajikan masyarakat tersebut.

“Masyarakat (luar bandar) yang sebenarnya kedudukan secara geografinya jauh antara satu rumah dengan rumah yang lain dan pastinya kos bagi pembangunan infrastruktur untuk bekalan air sangat besar.

“Jadi hari ini hutang RM2 bilion yang disandarkan kepada kerajaan negeri itu sebenarnya merupakan nilai bagi projek-projek bekalan air yang dibangunkan oleh kerajaan negeri Pahang melalui pendekatan hutang.

“Tapi sebenarnya setiap kali kita memohon projek itu kita mengharapkan pemberian bantuan diberikan dalam bentuk geran,” tambahnya.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai itu lagi, pembangunan projek bekalan air di negeri Pahang tidak boleh dilihat semata-mata sebagai satu pelaburan yang menguntungkan dari segi modal, sebaliknya ia merupakan komitmen kerajaan negeri memberi perkhidmatan kepada rakyatnya.

“Tapi demi komitmen kerajaan negeri untuk penduduk luar bandar tidak dianaktirikan, lebih penting lagi keselamatan mereka, kesihatan mereka dan kesejahteraan hidup mereka terjamin, kerajaan negeri tetap meneruskan projek ini untuk pelaksanaannya.

“Jelasnya, kalau nak sifatkan hutang RM2 bilion itu hendak disandarkan kepada kerajaan negeri, ianya satu hutang yang kerajaan negeri terpaksa tanggung untuk sama-sama menunaikan tanggungjawab di bawah kerajaan persekutuan,” katanya.

Oleh kerana itulah jelas Norol lagi, pimpinan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada hari ini sedang mengusahakan rundingan dengan pihak Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli untuk sebaik-baiknya melupuskan segala hutang yang ada kerana secara jelas ia tidak boleh dilihat dari sudut pelaburan perniagaan.

“Kenapa saya katakan pelaburan projek ini tidak memberikan pulangan modal? Kerana secara puratanya setiap 1 kilometer paip yang dibina di negeri Pahang ini hanya dapat memenuhi keperluan lebih kurang 124 akaun pengguna.

“Berbanding di kawasan-kawasan bandar atau negeri lain yang berkepadatan penduduknya besar melebihi 300, jadi apa yang kita buat di negeri Pahang ini tidak mencapai ‘economy soft skill’.

“Jadi kita tetap buat untuk keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan penduduk negeri Pahang,” tegasnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.