PRK Cameron Highlands: BN Wajib Menang, Bukti Kekuatan Saf Pembangkang


JELAI, 23 Jan – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dengan tegas berkata Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Cameron Highlands ini wajib dimenangi oleh pembangkang.

Menurutnya, kemenangan tersebut bukan semata-mata demi Barisan Nasional (BN) tetapi sebagai menunjukkan kekuatan saf pembangkang kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saf pembangkang mesti mula tunjuk kekuatan, pembangkang di negara ini ada kekuatan, pembangkang di negara ini tempat rakyat bergantung, pembangkang di negara ini tidak bisu, pembangkang di negara ini membuat persiapan untuk mengambil alih semula kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

“Adalah wajib atas kita. Politik ini adalah fardu kifayah atas kita, umat Islam jangan biarkan kita dijajah dan diperintah oleh orang lain. Bumi kita tanah air kita, dalam keadaan kita lebih ramai tapi kita terjajah, maka kitalah yang berdosa,” ujarnya penuh semangat dalam ceramah sepentas di dalam kempen PRK Parlimen Cameron Highlands di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kuala Medang, di sini, malam tadi.

Selain Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh, antara penceramah yang hadir adalah seperti Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang juga Ahli Parlimen Bachok dan Datuk Ibrahim Ali, Presiden Perkasa.

PRK Parlimen Cameron Highlands memperlihatkan kesepakatan dan permuafakatan antara UMNO dan Pas semakin bertambah erat dalam saf pembangkang yang bersama-sama berganding bahu bagi memastikan kemenangan calon BN, Ramli Mohd Nor mempertahankan parlimen tersebut.

Justeru itu, jelas Annuar lagi, disebabkan PRU-15 masih lagi panjang tempohnya, seharusnya blok pembangkang mencapai kemenangan demi kemenangan di dalam beberapa siri PRK akan datang dengan membawa analogi seperti perlawanan bola sepak.

“Saya kata main bola tak boleh terus ke Bukit Jalil (Stadium Nasional Bukit Jalil), kena ada main liga bawah dulu. Kalau menang liga kampung naik liga daerah baru penonton pergi. Menang liga daerah naik liga negeri lagi ramai penonton datang, menang liga negeri barulah pergi final di Bukit Jalil,” katanya.

Begitulah juga jelasnya seperti di dalam pilihan raya, kemenangan blok pembangkang perlu bermula dari Parlimen Cameron Highlands kemudian diikuti Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dan Rantau serta lain-lain kawasan jika ada sebelum menghadapi PRU-15 nanti. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.