Keluhan Demi Keluhan Rakyat, Kerajaan PH Perlu Segera Cari Jalan Penyelesaian – Sharkar


KUALA LUMPUR, 23 Jan – Exco Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin mengingatkan kerajaan pusat agar segera mencari jalan penyelesaian terhadap keluhan demi keluhan oleh rakyat pelbagai peringkat kerana mereka hari ini cukup terhimpit dengan apa yang berlaku.

Menurut beliau suasana yang sama sekali berubah antara sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu dan selepas negara diterajui oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) memperlihatkan kegagalan mereka dalam merencanakan apa yang ingin dilaksanakan termasuklah hala tuju kerajaan baru hari ini biarpun hampir sembilan bulan memerintah.

“Kerajaan yang ada hari ini perlu mencari jalan bagaimanakah keadaan ekonomi akan dapat dipulihkan sepertimana sebelum ini kerana kehidupan mesti diteruskan.  Keluhan demi keluhan kedengaran dan rakyat benar-benar boleh membuat perbandiangan.

“Kalau tengok perubahan yang berlaku hari ini harga sawit makin turun dan harga getah pun sama makin turun. Kemudian dulunya peneroka akan mendapat elaun sara hidup iaitu sebanayak RM1,000 sebulan apabila mereka membuat penanaman semula. Ini adalah ‘advance’ setelah mereka terpaksa menunggu selama tiga tahun untuk mendapatkan hasil keluar, tetapi ini pun tidak ada dah. Cuba kita bayangkan bagaimanakah kehidupan mereka.

“Sebab itu sekarang ini  #maluapaboossku menjadi tular sebab mereka ini dapat melihat kabinet yang dahulunya ‘more competent’… mata menterinya berfungsi dengan baik dan kita berjaya mengundang ramai pelabur yang datang dan begitu juga dapat dilihat pertumbuhan ekonomi yang baik serta pelbagai bentuk bantuan sebelum masuk sekolah… selepas masuk sekolah pun ada, seterusnya BR1M dan macam-macam lagi.

“Kita harapkan pada kali ini mereka terjemahkan kekecewaan dan juga keresahan ini pada 26 Januari nanti dengan memberikan sokongan kepada BN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Diksusi P078 Cameron Highlands yang dihoskan oleh Datuk Dr Azizan Abd Majid. Program tersebut disiarkan secara ‘live’ pada menerusi medium facebook mediaumnomalaysia, malam tadi.

Sharkar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO seterusnya menegaskan sembilan bulan telah berlalu namun tidak dapat dilihat dengan jelas kemana hala tuju dan pelaksanaan untuk kepentingan dan kebajikan rakyat.

“Kita tidak nampak apa yang berlaku dan saya menyeru pengundi di Cameron Highland yang kita mesti beri isyarat jelas kepada kerajaan yang ada ini bahawa pada kali ini kita benar-benar memahami realiti dengan memberikan undi kepada calon BN, Ramli Mohd Nor untuk kita memberitahu kepada kerajaan PH cukup-cukuplah.

“Sembilan bulan tidak ada apa-apa yang berlaku dan yang ada hanya tuduhan demi tuduhan. Rakyat sebenarnya mahu melihat apakah sebenarnya program ataupun hala tuju yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan hari ini. Kalau tiga, empat dan lima bulan keadaan makin teruk apa akan jadi pada negara. Sebab itu banyak netizen lontarkan ketidakpuasan hati mereka agar menukar menteri baharu dan sebagainya.”

Tambahnya lagi beliau cukup yakin rakyat sudah boleh membuat perbandingan hari ini antara kerajaan yang terdahulu dengan kerajaan PH setelah memngambil alih kepimpinan negara pada PRU yang lalu.

“Sembilan bulan negara telah diperintah PH, maka kita dapat memberikan penilaian. Sembilan bulan rakyat sudah boleh tengok serta lihat dan mereka cukup bijak untuk buat penilaian. Sembilan bulan mereka telah boleh perbandingan antara pemerintahan yang terdahulu dengan apa yang sedang dilakukan oleh PH hari ini. Apatah lagi dengan segala isu serta manifesto pada PRU ke-14 yang dijanjikan tidak ditunaikan,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.