Biarlah Mereka Nak Burukkan Saya, Masyarakat Di Cameron Highlands Lebih Tahu Siapa Saya – Calon BN

TANAH RATA, 22 Jan – Berbaki lagi empat hari tempoh berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands ini, calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Nor melahirkan harapan agar masyarakat di sini terutamanya pengundi sudah dapat membuat keputusan cerdik siapakah yang selayaknya diangkat untuk menjadi Ahli Parlimen di sini.

Dengan kelebihan sebagai anak jati Cameron Highlands apatah lagi berasal dari masyarakat Orang Asli, Ramli lebih memahami dan mendalami segala permasalahan di sini, ‘roh’ dan nadi akar umbi lebih dirasai.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut hala tuju yang ingin dibawa oleh beliau, ikutilah borak santai UMNO-online bersama beliau.

UMNO-Online: Tinggal beberapa hari sahaja lagi tempoh berkempen, mungkin ada pesanan yang ingin Tuan sampaikan kepada para pengundi di sini.

Ramli: Pesanan saya di Cameron Highlands ini, undilah dengan bijaksana. Undilah orang tempatan… undilah orang yang boleh membawa suara mereka ke Parlimen. Saya percaya saya boleh melaksanakan tugas itu dengan sempurna dan baik.

UMNO-Online: Setakat hari ini, apa permasalahan yang telah dapat Tuan kesan dan boleh diketengahkan?

Ramli: Apa yang saya amati, di kawasan bandar, isu traffik, isu tanah TOL.. dan di luar bandar berkaitan kemudahan asas seperti isu jalan, isu ekonomi seperti tanaman harga jatuh maka mereka perlu ada pembelaan.

UMNO-Online: Kempen PH walaupun telah menjadi kerajaan masih lagi mengamalkan kempen fitnah malah Tuan sendiri telah melaluinya. Bukan sahaja fitnah tetapi kenderaan Tuan telah ditahan dan dikasari. Mungkin Tuan boleh ulas cara dan pendekatan yang mereka lakukan ini?

Ramli: Saya percaya teknik mereka ini adalah teknik dan cara konvensional yang digunapakai di luar sana. Mereka tidak menghayati apa isu tempatan yang mana saya lebih arif tentang itu. Sebab itu kalau anda perasan, ada saya buat seperti mereka? Tidak ada… saya masuk kampung, melawat, duduk… makan… bersembang dan bercerita apa masalah penduduk.

Daripada situ, kita boleh mengetahui isi hati mereka. Contohnya di kampung Orang Asli, saya duduk, bercerita, dengar rungutan mereka, apa yang mereka perlu.. manakala di bandar ini seperti kawasan Cina dan India, mereka turut bercerita masalah yang dihadapi… lebih kepada mata ke mata… baru mereka memberi penghayatan… baru ada ‘soul’… maknanya kita selami apa yang mereka lalui.

UMNO-ONline: Setakat hari ini, PH banyak menyerang peribadi Tuan mungkin sebab ketandusan isu. Apa pandangan Tuan?

Ramli: Biarlah… nak serang… seranglah… masyarakat di sini tahu… kenal saya…. apa isu yang saya buat? Saya tidak terlibat dengan benda yang mengarut. Rakyat kini pandai menilai mana baik mana buruk. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.