Adunan Calon Terbaik Dan Keutuhan Jentera Resepi Kekalkan Kemenangan BN – Mohamad

TANAH RATA, 12 Jan – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata jentera Barisan Nasional (BN) perlu bekerja dengan lebih keras bagi mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands walaupun mempunyai calon yang amat baik.

Ujarnya, di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan tersebut jentera parti mesti bekerja kuat dan bertungkus lumus memastikan calon, Ramli Mohd Nor menang serta berharap dapat menemui seramai mungkin pengundi supaya calon lebih dikenali dan lebih dekat dengan rakyat.

“Mulai hari ini jentera BN di bawah Pengarah PRK Cameron Highlands ini Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telahpun membentuk jentera dan memulakan kerja untuk meyakinkan orang ramai bahawa yang kita tampilkan ini adalah calon yang amat baik.

“Setelah kita teliti beberapa nama, maka kita dapati Tuan Ramli Mohd Nor adalah calon yang sempurna, calon yang senang untuk kita kenalkan kepada orang dan beliau adalah anak tempatan,” katanya dalam sidang media sebaik sahaja selesai proses penamaan calon PRK Cameron Highlands di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.

Turut bersamanya calon BN, Ramli Mohd Nor, 61, bekas Penolong Pesuruhjaya Polis, anak tempatan dari etnik Semai.

PRK Cameron Highlands secara rasminya bermula hari ini dengan menyaksikan pertembungan empat penjuru antara BN dengan calonnya, Ramli Mohd Nor, Pakatan Harapan (PH) M. Manogaran dan dua calon Bebas iaitu Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

Tambah Mohamad, Ini adalah kali pertama masyarakat pribumi diberi kepercayaan bertanding di dalam kerusi Parlimen dan jika menang Ramli akan menjadi anak etnik pribumi pertama dalam negara sebagai Ahli Parlimen.

“Peratusan Orang Asli mewakili 22 peratus dari keseluruhan jumlah pengundi di Cameron Highlands ini, saya percaya rakan-rakan dari kaum Orang Asli yang mana Tuan Ramli asal dari sini, ayahnya dari sini, akan dapat diberikan sokongan.

“Dan ini juga calon yang tidak ada apa-apa masalah di kalangan rakan-rakan parti komponen Barisan Nasional walaupun pada awalnya orang kata tradisinya diwakili oleh MIC, tetapi MIC dan presidennya berjiwa besar,”ujarnya lagi.

Justeru, Mohamad menggesa jentera parti supaya bekerja keras memastikan pengundi BN keluar mengundi dengan seramai mungkin memilih calon BN pada 26 Januari nanti.

“Ini penting kerana di Cameron Highlands ini kita mempertahankan kerusi kita, di empat PRK sebelum ini di Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Port Dickson kerusi tersebut milik Pakatan Harapan tetapi kali ini, adalah kerusi tradisi Barisan Nasional,” katanya.

Dalam perkembangan yang berkaitan juga, Mohamad turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kepimpinan parti Pas seperti Naib Presiden, Datuk Iskandar Abdul Samad, Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan serta di peringkat negeri dan kawasan yang turut sama-sama hadir mengiringi calon BN serta atas komitmen mereka bantu berkempen. – Media UMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.