Pihak Berkuasa Diminta Bertegas, Jangan ‘Pilih Bulu’ Pihak Ganggu Gugat Kesejahteraan

PULAU PINANG , 10 Jan- Pihak berwajib khususnya Polis DiRaja Malaysia (PDRM) perlu mengambil tindakan yang tegas dan tidak pilih kasih terhadap status pelakunya waima anak menteri mahupun orang biasa iaitu harus diadili sekiranya menggangu-gugat kesejahteraan dan keharmonian yang dimiliki oleh rakyat.

Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Tan Sri Dr Mohd Yusoff Latiff menegaskan, tidak kira walaupun berbeza bangsa, agama dan fahaman politik, janganlah menghina, memperli serta merendah-rendahkan Institusi Raja Berpelembagaan, agama Islam dan hak-hak orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan Negara.

“PDRM sepatutnya mengambil tindakan efektif, tegas dan adil kepada sesiapa sahaja tanpa ‘pilih bulu’ apabila keharmonian dan perpaduan yang dijalinkan sekian lama diganggu-gugat oleh segelintir masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan media.

Jelasnya, semenjak akhir-akhir ini sering dilihat dan kedengaran bermacam-macam ungkapan yang tidak sopan serta bersifat kurang ajar terhadap Institusi Berpelembagaan serta kedudukan orang Melayu dan Islam yang kian terancam.

“Pihak berwajib berhak menggunakan setiap instrumen undang-undang agar dapat mengangkat martabat Institusi Raja-raja Melayu dan memelihara Perlembagaan Malaysia supaya tidak tercemar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.”

Tambah beliau, pelbagai artikel dalam media sosial sering mengeluarkan perkataan yang kurang enak, malahan boleh menjatuhkan aib muka individu.

“Amat malang jika kita tidak membaca dan terus menghantar mesej yang palsu ini kepada orang lain,” katanya yang melahirkan rasa sedih apabila warganet terus mempercayainya walaupun benda tersebut tidak betul.

Tegasnya, kenyataan sedemikian harus dihentikan agar tidak terjadi ‘peristiwa hitam 13 Mei’.

“PEMENANG mencadangkan ditubuhkan Mahkamah Perlembagaan agar Raja Berperlembagaan, kesucian Islam serta kedudukan istimewa hak orang Melayu tidak tercemar,” ujarnya lagi yang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Melayu Terbilang 2017. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.