Hubungan Pas-Bersatu Tamat, Terbukti UMNO Kekal Wadah Penyatuan

KUALA LUMPUR, 11 Jun – UMNO kekal komited sebagai wadah penyatuan orang Melayu dan umat Islam dalam usaha memperkukuhkan perpaduan serta menjamin kestabilan politik negara, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ketereh, Azhan Ishak.

Menurut beliau, perkembangan yang menyaksikan hubungan politik antara Pas dan Bersatu dikatakan berakhir dilihat sebagai satu pengajaran bahawa kekuatan politik Melayu dan Islam tidak boleh dibina atas kepentingan politik jangka pendek atau gabungan yang bersifat sementara.

Katanya, ini berbeza dengan UMNO kerana sejak dahulu konsisten memperjuangkan agenda penyatuan dengan meletakkan kepentingan agama, bangsa dan negara mengatasi kepentingan parti.

“UMNO percaya kekuatan politik Melayu dan Islam perlu diasaskan kepada semangat perpaduan, kestabilan dan kesediaan untuk bekerjasama demi kepentingan bersama, bukannya melalui perseteruan atau sentimen kebencian sesama sendiri.

“Perkembangan yang berlaku hari ini membuktikan bahawa penyatuan yang tidak dibina atas asas yang kukuh akan berdepan cabaran untuk bertahan dalam jangka masa panjang,” katanya menerusi kenyataan kepada UMNO Online.

Beliau berkata, UMNO masih kekal sebagai rumah bangsa yang terbuka kepada seluruh orang Melayu dan umat Islam untuk bersama-sama memperjuangkan kepentingan agama, bangsa dan tanah air.

Menurutnya lagi, sejarah telah membuktikan bahawa apabila orang Melayu bersatu di bawah satu matlamat yang jelas, mereka mampu menjadi faktor utama kepada kestabilan politik dan pembangunan negara.

“Keutamaan UMNO bukan sekadar meraih keuntungan politik, tetapi mengembalikan semula naratif penyatuan Melayu dan Islam yang semakin terhakis akibat perbalahan politik yang berpanjangan.

“Rakyat mahukan kestabilan dan perpaduan. Justeru, UMNO perlu terus berperanan sebagai jambatan penyatuan dan bukannya tembok pemisah,” ujarnya.

Azhan turut menegaskan bahawa mana-mana pihak yang ikhlas memperjuangkan agenda Melayu dan Islam secara sederhana, matang dan berlandaskan semangat kebersamaan perlu diberikan ruang untuk bersama-sama memperkukuhkan kesatuan ummah.

“UMNO akan terus memainkan peranan sebagai wadah penyatuan dan payung kepada orang Melayu serta umat Islam demi masa depan negara yang lebih kukuh, aman dan sejahtera,” katanya.

Terdahulu pada Isnin Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan memaklumkan parti terbabit secara rasmi menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO