Lima Iltizam UMNO Untuk Rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Lima iltizam ‘the way foward’ UMNO yang digariskan oleh Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, akan menjadikan parti keramat itu sebagai pembangkang kompeten dan disegani.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata pembinaan UMNO sebagai pembangkang berwibawa berteraskan fakta dan kaji selidik, membolehkan UMNO bergerak sebagai harapan baru rakyat Malaysia termasuk generasi muda.

Beliau berkata, iltizam pertama yang tidak mahu parti menjadi kerajaan menerusi jalan belakang, adalah satu pendekatan terhormat, tidak menggadai maruah parti dan memberi signal jelas hala tuju perjuangan, selaras dengan mesej yang disampaikan oleh Presiden UMNO semasa retreat kepimpinan UMNO sebelum ini.

Katanya, sebagai pembangkang yang credible dan berjuang berdasarkan fakta, UMNO tidak akan menjadi gendang kosong seperti sesetengah parti politik, sebaliknya akan sentiasa check and balance untuk meletakkan kerajaan dalam keadaan berhati-hati agak tidak mentadbir negara secara semberono.

“Ini akan menjadikan politik Malaysia setanding umpama politik di negara maju dan kita tidak akan menjadi parti emosional seperti Dap tetapi parti yang rasional dan berfakta.”

Dr Shamsul Anuar berkata, iltizam menjadikan idea sebagai modal politik, akan menarik lebih banyak idea dari golongan anak muda, menjadikan UMNO parti inklusif dan responsif kepada perubahan.

“UMNO wajar cepat menyesuaikan diri kepada modul politik baru berasaskan debat dan wacana keilmuan yang diketengahkan oleh anak-anak muda tapi pada masa yang sama menjadikan politik lama sebagai “guru” dan bahan rujuk,” katanya.

Tegas beliau, ilmu politik dua zaman ini sangat berguna untuk UMNO bergerak sebagai pembangkang alternatif yang peka kepada perubahan iklim politik global.

“UMNO adalah parti politik yang banyak pengalaman, sudah diuji beberapa kali dan melalui banyak proses penyaringan, menjadikan ia umpama emas yang bernilai,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, adaptasi parti kepada iltizam memperkasakan semula agenda Melayu, amat wajar kerana semenjak UMNO ditubuhkan, agenda Melayu dan Islam sememangnya adalah teras perjuangan parti.

“Banyak parti lain (termasuk yang terbaru PPBM) cuba meniru agenda Melayu UMNO tetapi gagal kerana mereka tidak ikhlas dan jujur menterjemahkan agenda itu menjadi roh perjuangan.

“Akibatnya, perjuangan Melayu parti-parti berkenaan hanya umpama menanam tebu di bibir, sedangkan di bawah UMNO, setiap idea memperkasa Melayu yang diilhamkan dari kertas persidangan diterjemahkan menjadi dasar, rancangan pembangunan, malahan bangunan dan agensi tindakan.

“Inilah kekuatan UMNO yang tidak boleh ditiru atau diciplak, kata beliau, sambil menambah agenda Melayu yang diperjuangkan UMNO ‘bersalut doa, air mata, kudrat dan pengabdian jiwa’ supaya ia tidak retorik.

Dr Shamsul Anuar berkata kelima-lima iltizam yang digariskan oleh Timbalan Presiden UMNO adalah berpandangan jauh dan di mana yang sesuai, wajar dibengkelkan supaya ia menyerap dalam jiwa orang orang UMNO.

“Ini termasuklah mendidik orang-orang UMNO supaya menjauhi amalan politik wang.

“Mereka yang masih kekal sebagai orang UMNO adalah generasi penerus perjuangan, dan oleh kerana kita ditakdirkan Allah untuk menjadi pendokong panji panji UMNO, maka jadilah kita pejuang pejuang yang terbaik, bijak dan berwibawa demi masa depan rakyat Malaysia,” tegas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.