Sumbangan Pusat Data Kepada KDNK Meningkat Kepada RM14.1 Bilion Pada 2025
KUALA LUMPUR, 15 Okt – Sumbangan industri pusat data kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia meningkat daripada RM0.9 Bilion pada 2021 kepada RM14.1 bilion pada 2025, mencerminkan pertumbuhan aktiviti ekonomi yang dijana sektor berkenaan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata nilai tambah bersih industri pusat data boleh dinilai menerusi kesan limpahan ekonomi, termasuk aktiviti pembinaan dan operasi pusat data, perbelanjaan utiliti serta penggunaan barangan dan perkhidmatan tempatan.
Beliau berkata kerajaan turut memberi penekanan kepada penggunaan peralatan dan produk keluaran tempatan bagi memastikan pertumbuhan industri itu memberikan manfaat lebih luas kepada ekonomi negara.
Sehubungan itu, Data Center Task Force (DCTF), yang antara peranannya menyelaras kelulusan pusat data di peringkat Persekutuan, bersetuju menggalakkan atau menetapkan sasaran minimum 30 peratus kandungan tempatan bagi pembinaan pusat data.
“Strategi lokalisasi ini dilihat akan meningkatkan integrasi syarikat tempatan dan rantaian daripada player daripada mereka-mereka yang terlibat daripada luar negara datang ke dalam negara kita. Ini akan mewujudkan peluang pekerjaan, membina kapasiti syarikat tempatan untuk bersaing di peringkat global dan mengurangkan kebergantungan kepada produk-produk import, terutamanya server, sistem integrasi, sistem penyedukan dan sistem elektrik.
“Kalau kita tengok dari segi permulaan untuk buat data center ini, dia akan melibatkan, pertama, kita kena ada juru runding. Jadi juru runding ini adalah merupakan salah satu daripada perlu diambil dan kita tak benarkan dipakai juru runding luar daripada negara.
“Kemudian apabila kita nak membina, dia nak kena beli tanah. Lepas dah beli tanah, then they have to do land clearing, kemudian dia kena buat pembangunan. Lepas pembangunan tu kita tetapkan bahawa dia kena pakai kontraktor-kontraktor dalam negara.
“Kemudian dia memerlukan penjanaan tenaga. Dia naik power. Jadi di samping itu kita juga ada engineering services, logistik, legal dan sebagainya. Ini adalah satu daripada ekosistem sebelum data center itu bermula. Kemudian selepas data center itu bermula, maka dia ada power requirement,” katanya.
Katanya lagi sejak mengambil alih kementerian berkenaan, polisi baru telah ditukar yang mana power berkenaan mestilah dibezakan dengan power yang biasa dapat daripada TNB.
“Jadi power requirement ini, sejak saya ambil alih kementerian ini, saya sudah tukar satu polisi baru bahawa power ini mestilah dibezakan dengan power yang kita biasa dapat daripada TNB, iaitu untuk supply kepada kita punya residential, industri yang tidak ada kena-mengena dengan data center,” katanya.
Terdahulu Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menyatakan mekanisme mengukur nilai tambah bersih dihasilkan oleh setiap pusat data selepas mengambil kira penggunaan elektrik, air, tanah, infrastruktur, insentif fiskal dan bukan teknologi, pekerja, kandungan tempatan dan kos peluang sumber negara atas RM385.7 bilion pelaburan pusat data diluluskan sejak 2021.- UMNO Online
