Malaysia-China Perluas Kerjasama Pemindahan Teknologi Dan Pembangunan Industri
BEIJING, 15 Okt – Malaysia dan China berhasrat memperkukuh kerjasama strategik dalam pemindahan teknologi, pelaburan, pembiayaan pembangunan serta kerjasama ekonomi serantau menerusi pertemuan dua hala antara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Naib Perdana Menteri Republik Rakyat China, TYT Ding Xuexiang, di sini hari ini.
Pertemuan itu memberi tumpuan kepada usaha memperluas pemindahan teknologi dan perkongsian kepakaran China kepada Malaysia, termasuk dalam pelaksanaan projek strategik seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), teknologi kenderaan elektrik (EV) serta pembangunan industri berteknologi tinggi.
Ahmad Zahid berkata, kerjasama antara kedua-dua negara perlu melangkaui pelaburan semata-mata, sebaliknya turut membangunkan keupayaan industri tempatan dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja negara.

“Bagi Malaysia, kita mahu setiap pelaburan yang diterima dapat membantu meningkatkan keupayaan industri negara, memperkukuh penglibatan syarikat tempatan serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, kedua-dua pihak turut membincangkan usaha memaksimumkan manfaat ekonomi daripada pembangunan ECRL, khususnya dalam menarik pelaburan baharu, memperkukuh rangkaian logistik dan merancakkan pembangunan industri di sepanjang Pantai Timur.
Katanya, pembangunan berkenaan perlu membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan kepada perusahaan tempatan serta komuniti luar bandar.
Malaysia juga melihat inisiatif Two Countries, Twin Parks sebagai platform penting untuk memperkukuh kerjasama industri dengan China, khususnya dalam bidang pembuatan termaju, industri hijau, logistik moden dan pembangunan rantaian bekalan serantau.
Inisiatif itu berpotensi memperluas penyertaan syarikat tempatan dalam aktiviti ekonomi bernilai tinggi, sekali gus meningkatkan daya saing industri negara.
Selain kerjasama ekonomi, kedua-dua pihak turut membincangkan cadangan China untuk meneruskan Dialog Islam-Konfusianisme dengan penganjuran seterusnya di China.
Ahmad Zahid menyambut baik cadangan itu yang dilihat mampu memperluas penyertaan tokoh agama, ilmuwan dan wakil masyarakat dari pelbagai negara, termasuk negara yang mempunyai masyarakat Islam minoriti.
Beliau berkata, dialog antara tamadun merupakan platform penting bagi memperkukuh persefahaman dan sikap saling menghormati dalam kalangan masyarakat yang mempunyai latar belakang agama serta budaya berbeza.

“Dialog antara tamadun merupakan platform penting untuk memperkukuh persefahaman, saling menghormati dan hubungan antara masyarakat yang mempunyai latar belakang agama serta budaya yang berbeza,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, hasil perbincangan dengan Ding akan dibawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta dibincangkan bersama Menteri Luar dan kementerian berkaitan bagi menentukan tindakan susulan yang bersesuaian.
Beliau menjelaskan beberapa perkara yang dibangkitkan memerlukan penelitian lanjut sebelum sebarang keputusan atau pengumuman rasmi dibuat.
Mengakhiri lawatan kerja di Beijing, Ahmad Zahid turut mengadakan pertemuan dengan delegasi China National Nuclear Corporation (CNNC) bagi membincangkan potensi kerjasama dalam pembangunan kepakaran teknikal, penyelidikan, pemindahan teknologi dan teknologi tenaga.
Perbincangan itu turut memberi perhatian kepada peluang latihan untuk jurutera, juruteknik dan tenaga pengajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia, selain kerjasama antara institusi penyelidikan dan industri kedua-dua negara.
“Keutamaan kita adalah memastikan hubungan erat Malaysia-China terus diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada negara, khususnya melalui penguasaan teknologi, pelaburan berkualiti, pembangunan kepakaran tempatan serta peluang ekonomi yang lebih luas untuk rakyat Malaysia,” katanya lagi. – UMNO Online
