MRR: Hormati Titah, Beri Ruang Kemelut Selesai Berpandu UUTKNS

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Hairi Mad Shah menyeru semua pihak agar menghormati titah Majlis Raja-Raja (MRR) dan memberi ruang agar kemelut di Negeri Sembilan dapat diselesaikan berlandaskan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS).

Menerusi satu kenyataan, beliau dengan penuh takzim menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.

“Saya, selaku Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, dengan penuh takzim menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu sebagaimana terkandung dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja bertarikh 14 Oktober 2026 berhubung pertikaian takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Pergerakan Pemuda UMNO menghormati sepenuhnya segala titah dan keputusan MRR. Seruan Raja-Raja Melayu agar semua pihak mengutamakan kebijaksanaan, kesabaran dan penghormatan terhadap adab, adat serta maruah institusi diraja amat tepat pada masanya. Seruan ini wajar dijadikan pegangan oleh setiap lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin turut mendukung penegasan Raja-Raja Melayu bahawa institusi kesultanan tidak boleh dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

“Saya mendukung sepenuhnya penegasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bahawa institusi kesultanan dan Raja-Raja Melayu tidak boleh dipermainkan atau dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

”Institusi ini tidak wajar sama sekali dijadikan bahan politik atau modal untuk meraih sokongan. Ia juga tidak boleh dijadikan ruang untuk memperlekehkan kedudukan dan kemuliaannya.

“Institusi Raja-Raja Melayu adalah tunjang Perlembagaan Persekutuan, payung kepada seluruh rakyat dan lambang kedaulatan negara yang wajib dipelihara bersama,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan dan menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Sehubungan itu, saya menyeru semua pihak agar menghormati titah dan keputusan MRR. Berilah ruang dan masa kepada pihak berkepentingan dan berautoriti untuk menyelesaikan perkara ini melalui saluran yang sah, tertib dan berwibawa, berlandaskan UUTKNS 1959.

“Orang ramai juga diseru agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan khabar yang belum disahihkan. Perbuatan sedemikian boleh mengeruhkan keadaan dan menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Semoga Allah SWT melimpahkan kebijaksanaan kepada semua pihak yang berkaitan, serta memelihara keamanan, kesejahteraan dan keharmonian Negeri Sembilan dan rakyatnya. Daulat Tuanku,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO